Mengimbau Kenangan di Red Fort, Delhi

Red Fort – Delhi

Sedar tak sedar, sekarang sudah hampir sampai ke penghujung tahun 2019. Tahun ini istimewa sedikit sebab aku dapat kembali ke India sejak pertama kali ke sana pada tahun 2012.

Seperti semua sedia tahu, harga visa ke India tidak murah seperti harga masa aku ke sana tahun 2012. Sejak tahun lepas, harga dia naik dari RM200 ke RM320 untuk e-visa (sah 4 bulan). Kalau visa biasa pula RM462 (sah selama setahun). Mahal gila kan?! Memang tak berpatutan. Oleh itu, aku memang terus “banned” sebarang perancangan untuk ke sana.

Namun begitu, sejak September 2019, India telah menurunkan harga Visa untuk rakyat Malaysia ke sana dan kembali ke harga USD25 (lebih kurang RM100+). Ini yang membuatkan aku teringin kembali ke sana. Aku sudah lama berhajat untuk kembali ke Delhi dan Kashmir.

Cumanya aku kurang bernasib baik kali ini kerana sejurus dua minggu aku selesai beli tiket kapal terbang ke sana, keadaan di Kashmir bergolak atas tindakan Kerajaan India menghapuskan hak keistimewaan orang Kashmir di tanah Kashmir sendiri. Situasi terus darurat di sana. Banyak tempat menarik dan cantik di sana telah tutup sementara waktu. Talian internet mahupun telefon disekat sepenuhnya di sana menyukarkan lagi urusan aku untuk merancang “ground arrangement”aku ke sana. Oleh yang demikian, akhirnya kami terpaksa akur dan redha dengan keadaan semasa yang berlaku dan terpaksa mengubah haluan perjalanan kembara kami ke satu negeri lain di India, iaitu ke negeri Himachal Pradesh!

Sebelum aku kongsi pengalaman aku di Himachal Pradesh, aku mahu mengimbau kenangan kami di Delhi dahalu ya. Hahaa. Kalau nak ke India ini, kebanyakan penerbangan dari luar negara akan ke New Delhi dahulu. Jadinya, tidak rugi sekiranya kita rancang perjalanan kita untuk sehari dua di Delhi kerana banyak juga tarikan unik yang boleh kita pergi sekiranya kita berada di Delhi.

Untuk Entri kali ini aku nak berkongsi mengenai Red Fort di Delhi! Sekiranya di Malaysia, laungan kemerdekaan Tanah Melayu kita dibuat di Dataran Merdeka, begitu jugalah keadaannya di India di mana mereka melaungkan kemerdekaan mereka di Red Fort. Setiap tahun, mereka akan menyambut hari Kemerdekaan mereka di sana. Makanya, Red Fort ini adalah satu monumen bersejarah yang sangat penting bagi India.

Dari segi sejarah pembinaan Red Fort di Delhi ini, ia mula dibina pada tahun 1663 oleh Maharaja Mughal Shah Jahan. Yaaa, Shah Jahan yang buat Taj Mahal di Agra itu. Takda yang lain, dia sorang sahaja Shah Jahan di dalam dunia ini. Tujuan beliau membina Red Fort ini adalah bagi memindahkan ibu kota empayarnya dari Agra ke bandar baru Delhi yang dipanggil Shahjahanab ketika itu. Red Fort ini dibina dengan “sandstone” merah dan mengambil masa hampir sedekad lamanya untuk siap dibina. Dari segi pembinaan keseluruhannya, Red Fort adalah lebih baik dari Agra Fort sebab Shah Jahan sudah mengambikira sebarang kelemahan yang ada di kubu di Agra untuk tidak dibuat di Red Fort. Setelah itu, Red Fort telah menjadi kubu empayar Mughal selama 200 tahun sehingga ianya jatuh ke tangan British pada tahun 1837. Maharaja Mughal terakhir yang ditabalkan di situ adalah Bahadur Shah Zafar yang kuasa pemerintahannya hanya di dalam kawasan istananya sahaja. Kesian kan?

Senibina Red Fort ini aku nampak ada pengaruh senibina Mughal dengan gabungan tradisi Parsi, Timurid dan juga Hindu. Kalau korang ke Agra Fort di Agra dan Amber Fort di Jaipur, sekali pandangan, nampak lebih kurang sahaja, sebab pengaruh senibinanya sama. Ada dua komponen utama bagi Red Fort ini iaitu Diwan-iAm (Dewan untuk orang awam) dan Diwan-i Khas (Dewan untuk tujuan peribadi).

Diwani-I-Am ni adalah dewan besar yang disokong oleh sembilan fasad melengkung. Dekat sinila tempat Maharaja letakkan singgahsana tahta beliau. Selain dari itu, terdapat Rang Mahal, Mumtaz Mahal (dibuka sebagai muzium), Khas Mahal, Hammam (kawasan mandi diraja) melengkapkan senibina di Kompleks Red Fort ini. Kalau korang familiar dengan pengaruh senibina Mughal, kompleks yang dibina akan dilengkapi dengan taman-taman indah dengan rekabentuk geometri yang menarik.

Pada masa sekarang, Kompleks Red Fort ini telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO) pada tahun 2007. Masa pertama kali aku ke India dulu, aku dah melawat tempat ini. Tapi kali ini, aku pegi juga ke sini sebab aku rasa Red Fort ini berbaloi untuk dilawati walau berkali-kali. hahahaha

Oh sebelum terlupa, dalam Red Fort ini bila nak keluar tu akan lalu bahagian Bazaar. Nama pun bazaar, jadi memang tempat untuk membeli belah. “Surprisingly”, harga barang di dalam bazaar tidak “overprice”. Ada satu beg dalam tu memang aku dah berkenan mahu beli, tapi dalam hati mungkin kedai kat luar Red Fort akan lagi murah. Tapi malangnya, bila aku cuba bezakan harga di kedai-kedai luar seperti di Sarojini market dan lain-lain, harga beg di Red Fort adalah lebih murah dan berkualiti. Rasa macam nak patah balik Red Fort untuk beli, tapi sanggup ke nak bayar 600 Rupee untuk tiket masuk? Huhuuu menangis di bucu katil balik tu. Jadi, korang jangan ulang kesilapan aku ya.

Masa terbaik untuk dilawati: Bulan November – Februari (Baru habis monsoon, musim sejuk, udara nyaman, takdala ketiak basah)

Lokasi: Netaji Subhash Marg

Metro Station: Chandni Chowk

Tiket masuk: 600 Rupee, kalau nak masuk muzium harga lain dalam 900 Rupee. Pada aku masuk dengan tiket harga 600 rupee tu dah cukup memadai dah, kecuali korang ni memang hantu cari barang artifak dan kaki sejarah dan suka masuk muzium. Boleh juga tengok website Delhi Tourism ni untuk harga tiket terkini. Tips untuk jimat, tiket boleh dibeli dengan harga 550 Rupee, diskaun 50 Rupee sekiranya beli secara online :-).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *