Vietjet Thailand Lancar Penerbangan KL – Bangkok Mulai Oktober 2026

Syarikat penerbangan, Vietjet Thailand kini melancarkan perkhidmatan terus (direct flight) ke Malaysia menerusi laluan baharu antara Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Vietjet Thailand, Encik Woranate Laprabang berkata, pembukaan laluan Kuala Lumpur-Bangkok ini merupakan satu pencapaian penting bagi Vietjet Thailand memasuki pasaran Malaysia, sekaligus mengukuhkan hubungan udara antara dua hab ekonomi dan pelancongan utama di Asia Tenggara.

“Kuala Lumpur merupakan pintu masuk penting di ASEAN, manakala Bangkok terus menjadi destinasi utama untuk pelancongan, perniagaan, gaya hidup, budaya, makanan dan membeli-belah. Pelancaran laluan baharu ini mencerminkan komitmen kami untuk mengembangkan rangkaian antarabangsa Vietjet Thailand serta menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan yang mudah, mampu milik dan mudah diakses di seluruh rantau ini.

“Kami berharap dapat mengalu-alukan penumpang menaiki pesawat Boeing 737-8 baharu kami dan memberikan pengalaman perjalanan yang menyeronokkan melalui perkhidmatan mesra, tambang berpatutan dan pengalaman penerbangan yang bermakna di bawah konsep ‘Enjoy Flying’,” katanya.

Perkhidmatan Kuala Lumpur–Bangkok ini akan mula beroperasi pada setiap hari mulai 9 Oktober 2026 mengikut jadual berikut:

Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2) – Bangkok (Lapangan Terbang Suvarnabhumi)

  • Penerbangan VZ681 berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 3:15 petang dan tiba di Bangkok (Suvarnabhumi) pada jam 4:30 petang waktu tempatan.

Bangkok (Lapangan Terbang Suvarnabhumi) – Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2)

  • Penerbangan VZ680 berlepas dari Bangkok (Suvarnabhumi) pada jam 11:00 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 2:10 petang waktu tempatan.

Difahamkan, laluan Kuala Lumpur–Bangkok akan dikendali menggunakan pesawat baharu iaitu Boeing 737-8 milik Vietjet Thailand yang direka untuk memberikan pengalaman perjalanan moden dan selesa kepada penumpang, dengan tempat duduk dan ruang kaki yang lebih luas, ruang simpanan kabin yang lebih besar serta kecekapan operasi yang lebih baik.

Penggunaan pesawat ini merupakan sebahagian daripada rancangan Vietjet Thailand untuk menerima sebanyak 50 buah pesawat Boeing 737-8 menjelang tahun 2028, bagi menyokong peningkatan kekerapan penerbangan, pembukaan laluan baharu serta memperkukuhkan hubungan udara bagi pasaran penerbangan jarak dekat, sederhana dan penerbangan sambungan.

Perkhidmatan baharu ini juga akan menyokong pertumbuhan permintaan perjalanan antara Malaysia dan Thailand, di samping meningkatkan pilihan penerbangan dan tambang yang kompetitif di salah satu koridor perjalanan udara utama ASEAN.

Malahan, laluan ini turut mencerminkan sokongan Vietjet Thailand terhadap pertumbuhan sektor pelancongan di kedua-dua negara, sejajar dengan kempen Visit Malaysia 2026, yang mensasarkan 43 juta pelawat antarabangsa, serta usaha promosi pelancongan Thailand melalui inisiatif Tourism Product Highlight 2026 oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand.

Melalui perkhidmatan terus harian antara Kuala Lumpur dan Bangkok, Vietjet Thailand berhasrat untuk meningkatkan hubungan udara, memperluaskan pilihan perjalanan dan menyokong perjalanan yang lebih lancar antara Malaysia, Thailand serta destinasi lain dalam rangkaian syarikat penerbangan tersebut, termasuk Chiang Mai, Chiang Rai, Ubon Ratchathani, Khon Kaen dan bandar-bandar lain di Thailand, selain destinasi seperti Vietnam, Jepun, Korea Selatan, Taipei dan banyak lagi.

Tempahan bagi perkhidmatan baharu Kuala Lumpur–Bangkok kini boleh dibuat melalui laman web Vietjet Air dan aplikasi mudah alih Vietjet Thailand.

Untuk maklumat terkini, promosi dan maklumat penerbangan, sila layari laman web rasmi Vietjet Air.


You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *