Dari Alishan ke “Drawing City”: Chiayi Sasar Jadi Destinasi Pilihan Pelancong Malaysia

Kuala Lumpur, 4 Jun – Sekitar Majlis Promosi Pelancongan Bandar Chiayi, Taiwan, yang berlangsung meriah di Grand Millennium Hotel Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi program ini, deligasi Bandar Chiayi mengambil peluang memperkenalkan keunikan destinasi, budaya dan produk pelancongan mereka kepada rakyat Malaysia.
Majlis ini turut dihadiri oleh Datuk Bandar Chiayi, Huang Min-hui, yang mengetuai delegasi rasmi dalam usaha memperkukuh hubungan pelancongan antara Malaysia dan Taiwan.


Dalam ucapan, Huang Min-hui berharap rakyat Malaysia dapat meluangkan masa bercuti ke bandar yang penuh keindahan semula jadi serta warisan budayanya.
Bandar Chiayi terkenal dengan destinasi ikonik seperti Alishan Forest Railway, sebuah kereta api warisan yang membawa pengunjung melalui landskap pergunungan yang menakjubkan.
Selain itu, pengunjung juga boleh melihat senibina bangunan dan rumah tradisional Taiwan yang penuh nilai estetika dan sejarah.

Bagi pencinta makanan, Chiayi menawarkan pelbagai sajian tempatan yang wajib dicuba. Antaranya adalah tofu fa (tau fu fah) versi Taiwan yang lembut dan menyegarkan, sesuai dinikmati dalam cuaca tropika atau sejuk.
Menariknya, bandar ini turut dikenali sebagai “Drawing City, sebuah gelaran yang menggambarkan keindahan pemandangan alam dan suasana bandar yang seolah-olah dilukis dengan tangan.
Dari gunung berkabus hingga ke jalan-jalan seni penuh warna, setiap sudut di bandar ini menjanjikan pengalaman visual yang memukau.
Majlis ini menandakan langkah positif dalam memperkenalkan Chiayi kepada pasaran Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unik, selamat, dan penuh inspirasi.



