Labuan: Destinasi Percutian Seisi Keluarga – Syurga Seafood & Duty Free!

Nak cari destinasi yang santai tapi penuh aktiviti menarik? Wilayah Persekutuan Labuan ada semuanya! Dari makanan tradisional, pulau cantik, aktiviti air sampai duty free.. semuanya ada! Ini antara tempat berbaloi anda boleh singgah ketika bercuti di Labuan!


🍽️ Makanan & Restoran Wajib Cuba

🔹 H’ambuyat Samangkuk Agung

Rasanya tak lengkap percutian kalau anda tak cuba makanan tradisional di Labuan. Macam yang satu ini, ambuyat.. iaitu sejenis makanan tradisional kaum Kadayan/Orang Brunei dan turut digemari oleh masyarakat di Labuan. Ambuyat ini diperbuat daripada tepung sagu yang dicampur dengan air panas sehingga menjadi likat dan kenyal.

Biasanya, ambuyat dimakan bersama pelbagai jenis sambal, kuah asam, ikan bakar atau lauk berkuah lain. Cara makannya juga unik, anda perlu menggunakan sejenis garpu bercabang dua yang dipanggil chandas untuk menggulung ambuyat sebelum dicicah ke dalam kuah.

Menariknya, jarang-jarang nak dapat makan ambuyat ini di Semenanjung tau! Kalau datang masa hujung minggu, boleh singgah makan di H’ambuyat Samangkuk Agung ini sebab vibes kedai makan tepi laut ini begitu asyik! Selain ambuyat, ada juga sajian lain dijual seperti pisang goreng, keropok lekor dan banyak lagi!

📍 Lokasi: Pondok Cahaya Mentari, Pantai Tanjung Aru Nelayan,

🕘 Waktu Operasi: 10pagi-5.30petang // Buka Sabtu & Ahad sahaja


🔹 Masminah Restaurant

Nak cari port sarapan berbaloi kenyang perut? Haa.. jom singgah makan di Masminah Restaurant. Tempat ni mungkin nampak sederhana, tapi jangan pandang sebelah mata ek – rasa dia sampai balik ke Semenanjung teringat-ingat tau!

Apa yang best sangat tu??

Haa.. anda kena cuba Mee Kolok style Labuan di kedai ni. Bukan mee kolok Sarawak biasa! Versi Labuan ni ada twist tersendiri. Mee dia kenyal, disajikan dengan hirisan daging atau ayam, dan kuah sup diasingkan. Simple tapi padu. Selain itu, ada juga menu Sup Ikan Istimewa. Sup ni rasa ringan tapi penuh rasa – dibuat daripada ikan segar yang dimasak dengan ramuan tradisional. Hirup kuah pun boleh ketagih! Isi ikan lembut, tak hanyir langsung.

Nak lagi padu, cuba gabungkan Mee Kolok dengan Sup Ikan.. fuh!

📍 Lokasi: Masminah Restaurant, Bandar Labuan, 87000 Labuan

🕘 Waktu Operasi: 6:30pagi – 5:30petang // Buka Setiap Hari

🔹 Bayu Labuan

Kalau anda jenis suka mulakan pagi dengan sarapan yang tenang, beraneka dan sedap.. jom sarapan di Bayu Labuan. Kedai makan ini terletak di bandar jadi mudah akses kalau anda menginap di sekitar bandar.

Ada pelbagai menu menarik untuk anda cuba di kedai ini. Antaranya nasi lemak, mee goreng, roti bakar, popia sate dan banyak lagi!

📍 Lokasi: Bayu Labuan, Bandar Labuan, 87000 Labuan

🕘 Waktu Operasi: 8pagi– 10malam // Buka Setiap Hari 

🔹 The Farmshop

Nak cuba tempat makan yang lain daripada yang lain? Meh singgah di Farmshop! Haa.. dekat sini anda boleh nikmati sajian Western sambil layan view tanaman segar!

Menariknya, kebanyakkan menu di Farmshop berasaskan bahan-bahan segar – sayur-sayuran dipetik terus dari ladang yang mereka usahakan sendiri. Lagi best.. anda juga berpeluang untuk petik sayur-sayuran itu untuk dibawa pulang ke rumah!

📍 Lokasi: The Farmshop. 700, Kg. Pantai, 87000 Labuan

🕒 Waktu Operasi: 11pagi-2ptg & 5ptg-9mlm // Buka Setiap Hari (Sabtu & Ahad – 11pagi-9mlm)

🔹 Anjung Ketam

Dah sampai Labuan takkan tak makan seafood pula kan? Jangan lupa singgah makan di Anjung Ketam! Terletak di atas air dengan pemandangan laut terbuka, restoran ini bukan sahaja menyajikan makanan laut yang segar.

Jangan pelik kalau tengok ramai sungguh orang datang makan di Anjung Ketam ini sebab isi ketam dekat kedai ini tebal-tebal dan paling penting fresh baru tangkap! Anda boleh pilih sendiri ketam hidup dari kolam, dan minta dimasak ikut selera anda seperti masak lemak cili api, masak butter atau mungkin kam heong.

Selain itu, ada juga hasil laut yang lain anda boleh nikmati seperti aneka udang bermacam saiz, sotong, lala dan banyak lagi!

📍 Lokasi: Anjung Ketam, Simpang Anjung Ketam, Jalan Tanjung Aru, 87000 Labuan

🕖 Waktu Operasi: 5.30ptg-9.30mlm

🔹 Restoran Hotspot


Nak pengalaman makan malam yang santai, sedap dan cantik di pulau bebas cukai ini? Anda wajib datang ke Restoran Hotspot sebelum matahari terbenam..

Dekat sini, anda boleh nikmati hidangan western dan shellout. Paling best kedai ini vibes tepi pantai jadi terasa angin sepoi-sepoi bahasa, layan ombak, cozy dan sesuai kalau nak buat gathering dengan keluarga atau kawan-kawan. Oh ya, kena datang sebelum matahari turun supaya anda boleh tengok sendiri secara real view matahari terbenam tu.. lawa sungguh!

📍 Lokasi: Restoran Hotspot, Lot 2, Anjung Selera, Kampung Batu Manikar, 87008 Labuan

🕖 Waktu Operasi: 2ptg – 9:30 mlm // Buka Setiap Hari Kecuali Isnin Tutup


🏝️ Aktiviti & Tempat Menarik

🔹 Muzium Chimney

Muzium Chimney adalah tempat bersejarah ikonik di Labuan yang berusia lebih 100 tahun. Dekat sini, anda akan nampak satu bangunan setinggi lebih 30 kaki dibina daripada 23,000 batu bata merah. Ramai sangka ia cerobong lombong arang batu, tapi tiada bukti yang sah. Ada juga teori ia menara kawalan atau suar panduan kapal. Selain itu, anda juga boleh pelajari sejarah perlombongan arang batu di Labuan, teknologi zaman dahulu, dan kisah komuniti pelombong pada awal 1900-an. Ada pameran interaktif, replika, dan gambar arkib menarik dalam muzium ni

📍 Lokasi: Muzium Chimney, Bukit Kubong, Labuan

🕘 Waktu Operasi: 9:00 pagi – 5:00 petang

🎟️ Masuk percuma

🔹 Muzium Marin Labuan

Kalau anda peminat dunia laut, jangan skip Muzium Marin Labuan! Dekat sini, anda boleh pelajari tentang terumbu karang, penyu, ikan eksotik dan segala yang hidup di bawah permukaan air. Dalam muzium ini, ada pelbagai koleksi spesimen laut yang dijumpai di sekitar perairan Labuan termasuk:

  • Rangka penyu dan ikan besar
  • Spesimen karang hidup dan tiruan
  • Model bangkai kapal karam (Labuan terkenal dengan lokasi diving kapal karam!)
  • Fakta menarik tentang ekosistem marin Malaysia Timur

📍 Lokasi: Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, Labuan

🕘 Waktu Operasi: 9:00 pagi – 5:00 petang // Buka Setiap Hari

🎟️ Masuk Percuma

🔹 Tengok Sunrise

Awal pagi kalau nak layan sunrise.. datang ke Pelantar Tinjau untuk lihat matahari terbit. Selain itu, anda juga boleh ke Tanjung Batu atau turut dikenali sebagai Tiara Beach untuk tengok lebih dekat dari persisiran pantai. Tenang je tengok alam pepagi ni..

📍 Lokasi: Pelantar Tinjau // Tiara Beach

🔹 Paddle Board + Sunset

Sunset dekat Labuan ini memang ‘mahal’ sungguh! Nak pengalaman lebih menakjubkan.. anda cuba main paddle board seperti Stand Up Paddle (S.U.P) waktu matahari terbenam.. fuh memang cantiklah view! Untuk aktiviti paddle board, anda perlu membuat tempahan awal tau. Boleh hubungi pihak Sea Sport.

Tempahan Paddle Board / min 4pax:
☎️ +6019-900 1440 (Mitchelle)

🔹 Island Hopping (Pulau Rusukan Besar & Pulau Kuraman)

Selalu dengar orang cakap Labuan ini popular untuk gang Diving berlesen.. ya memang betul. Tapi kalau tak reti diving pun boleh juga datang buat aktiviti Island Hopping dekat sini tau! Anda boleh rasai pengalaman snorkelling, belajar pasal coral & penyu dan santai di Beting Pasir! Boleh tahan membiru air laut di pulau ini!

Tempahan Island Hopping
☎️ +6012-833 6316 (Ms Kok Sukian)

🔹 Duty Free & Shopping Mutiara!

Haa.. sebelum pulang, jangan lupa untuk membeli coklat dan minyak wangi dengan harga jimat di pulau bebas cukai ini ya! Selain itu, bagi para wanita, mesti rambang mata tengok aksesori berasaskan mutiara cantik-cantik dijual dengan harga berpatutan..


🏡 Penginapan Mesra Keluarga

🔹 Desaland

Salah satu penginapan mesra keluarga yang menarik adalah di Desaland. Suasana dalam kawasan Desaland ini selesa dan redup sahaja sebab dikelilingi dengan pohon berimbun. Desaland mempunyai bilik yang luas berserta aktiviti ringkas buat si kecil. Tambahan pula, banyak spot OOTD yang cantik nak berfoto 1 famili!

🔹 Palm Beach Resort & Spa

Untuk anda yang gemar suasana tepi pantai, boleh menginap di Palm Beach Resort & Spa. Lokasinya terletak 15-20 minit dari bandar dan 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan.

Dari segi bilik, tak perlu risau sebab ada bermacam jenis unit seperti Deluxe Garden, Deluxe Sea View serta banyak lagi dan kesemuanya luas, lengkap dengan balkoni dan Wi‑Fi percuma.

🔹 Dorsett Grand Labuan

Inginkan penginapan yang lebih esklusif? Jom menginap di Dorsett Grand Labuan. Lokasi strategik kerana terletak di bandar Labuan bersebelahan dengan Ujana Kewangan serta Pusat Membeli-belah bebas cukai.

Hotel lima bintang ini mempunyai unit selesa seperti Deluxe, Executive, Premier Suite dan Royal Suite. Kebanyakan bilik menawarkan pemandangan bandar dan laut, lengkap dengan balkoni, minibar, TV satelit, Wi‑Fi percuma dan dilengkapi bath tub.


🌸 Borneo Flora Festival @Labuan 2025

Buat julung kalinya, Borneo Flora Festival akan berlangsung di Labuan! Pelbagai aktiviti menarik, seni taman, pameran flora & suasana penuh warna akan mewarnai festival besaran ini selama 5 hari mulai 26 hingga 30 Julai 2025 di Komplek Sukan Laut Antarabangsa Labuan. Alang-alang dah jejak Labuan, bolehlah meriahkan Borneo Flora Festival ini ya!

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web borneoflorafestival.my


You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *