Muzium & Galeri Seni Bank Negara Tampil Pameran ‘Warisan Cita Rasa Malaysia’ – Masuk Percuma!

Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) tampil memperkenalkan dua pameran istimewa, iaitu KERINGAT: Riwayat Pendahulu Negara dan RASA: Rencah Kehidupan, Santapan Renungan yang dibuka kepada orang ramai mulai 30 Oktober 2026.

Kedua-dua pameran ini menawarkan pengalaman yang saling melengkapi dalam menghubungkan sejarah pekerjaan, perkembangan ekonomi, budaya dan warisan kulinari yang membentuk identiti masyarakat Malaysia.


KERINGAT: Hargai Usaha Generasi Pembina Negara

Pameran KERINGAT: Riwayat Pendahulu Negara membawa pengunjung menelusuri kehidupan dan sumbangan generasi terdahulu dalam membangunkan negara.

Menerusi lebih 100 karya seni yang merangkumi lukisan, fotografi, arca dan media campuran, pameran ini menggambarkan landskap sosioekonomi Malaysia dari zaman penjajahan hingga dekad 1980-an.

Pengunjung berpeluang melihat bagaimana pekerjaan dan kegiatan ekonomi seperti pertanian, perikanan, perlombongan serta perdagangan menjadi antara tunjang utama kepada pertumbuhan negara.

Lebih menarik, pameran ini turut menampilkan karya seni moden dan kontemporari yang memberikan perspektif berbeza tentang dunia pekerjaan, perubahan ekonomi dan proses pembinaan negara merentas generasi.

Antara seniman yang diketengahkan termasuklah Yong Mun Sen, Abdullah Ariff, Chuah Thean Teng, Hoessein Enas, Ismail Hashim, Awang Damit, Jalaini Abu Hassan, Yee I-Lann dan beberapa nama lain.

Setiap karya membawa pengunjung lebih dekat kepada kisah masyarakat terdahulu, sekali gus mengingatkan kita bahawa kemajuan yang dinikmati hari ini tidak terbina dalam sekelip mata.

RASA: Menyingkap Cerita Disebalik Setiap Hidangan

Pameran RASA pula membawa pengunjung mengenali usaha dan sumber yang berkembang menjadi sebahagian daripada warisan makanan Malaysia.

Menampilkan lebih 50 makanan warisan, pameran ini mengajak pengunjung melihat makanan daripada perspektif yang lebih luas, bukan sekadar rasa dan resipi, tetapi turut merangkumi sejarah, tradisi, kenangan serta pertembungan budaya yang membentuk identiti kulinari negara.

Daripada sumber bahan mentah hinggalah kepada hidangan yang tersedia di meja, setiap makanan mempunyai perjalanan tersendiri. Di sebaliknya terdapat peranan petani, nelayan, pengusaha, peniaga dan komuniti yang menyumbang kepada kelangsungan industri makanan.

Pameran ini turut memperlihatkan bagaimana makanan menjadi medium yang menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang, mencerminkan kepelbagaian budaya serta cara hidup rakyat Malaysia.

Menurut Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli, kedua-dua pameran ini bertujuan mengajak masyarakat melihat warisan sebagai sesuatu yang terus hidup dan relevan dalam kehidupan masa kini.

Katanya, warisan bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya mencerminkan pengalaman, nilai dan tradisi yang membentuk cara masyarakat berinteraksi serta memahami antara satu sama lain.

Selain meneroka koleksi pameran, pengunjung turut boleh menikmati pelbagai aktiviti interaktif, sudut khas kanak-kanak dan lokasi bergambar yang disediakan. Program serta bengkel untuk orang ramai juga akan dianjurkan sepanjang tempoh pameran.

Bagi yang ingin membawa pulang kenangan, terdapat juga barangan eksklusif yang diinspirasikan daripada kedua-dua pameran dan boleh didapati di Kedai Muzium.

Jom terokai warisan Malaysia secara percuma di BNM MAG!

Maklumat Pameran

📍 Lokasi: Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG), Kuala Lumpur

  • KERINGAT: Riwayat Pendahulu Negara
    • Aras 3
    • 30 Oktober 2026 – 31 Mac 2027
  • RASA: Rencah Kehidupan, Santapan Renungan
    • Aras 2
    • 30 Oktober 2026 – 27 Jun 2027

🎟️ Bayaran masuk: Percuma

Untuk maklumat lanjut mengenai pameran, program dan aktiviti akan datang, layari museum.bnm.gov.my atau ikuti media sosial rasmi BNM MAG di Facebook, Instagram dan akaun X .


You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *