Nikmati hembusan angin laut di Kg Mangkuk & Kg Penarik, Terengganu

Na na na na na Ganu Kite! Terengganu, sebuah negeri yang pasti membuat ramai yang terimbau akan pulau-pulaunya yang indah, landskap muka bumi bagai di dalam lukisan, pantai yang bersih serta keunikan makanannya yang tersendiri. Namun adakah anda tahu, Terengganu juga mempunyai variasi lokasi tarikan yang menarik untuk dilawati? Baru-baru ini team Kaki Travel berpeluang untuk menerokai keindahan di sekitar Setiu, Terengganu. Jom kita lihat dua lokasi yang menarik untuk anda kunjungi iaitu di Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik.

Penat dengan landskap di ibu kota? Jom cuci mata dengan pemandangan pepohon kelapa tinggi-tinggi!

Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik terletak di Setiu, Terengganu. Dengan perjalanan lebih kurang 45 minit dari Kuala Terengganu, para pengunjung yang menjejakkan kaki ke desa ini pasti akan berasa tenang dengan suasana desa yang dikelilingi dengan landskap pohon kelapa, menjadikan lokasi ini mempunyai daya tarikan tersendiri. Jadi tidak hairanlah sekiranya anda melihat ramai pengunjung yang singgah ke sini untuk berfoto.

Foto: @hangdhamin
Foto: @hangdhamin

Lokasi Penggambaran Filem! 

Tahukah anda, tempat ini juga turut menjadi buruan penerbit filem tempatan untuk dijadikan lokasi penggambaran. Antaranya adalah filem berjudul ‘Polis Evo’ arahan Ghaz Abu Bakar dan filem ‘Pulang’ arahan Khabir Bhatia.

Salah satu tempat penggambaran filem Pulang
Rumah di dalam filem Polis Evo

Selami warisan seni Terengganu di Terrapuri Heritage Village

Selain daripada menikmati bayu segera dari Laut Cina Selatan di pinggiran pantai Mangkuk, anda juga boleh menyelami seni warisan rumah-rumah klasik Melayu di Terrapuri Heritage Village. Terrapuri merupakan sebuah resort yang berkonsepkan rumah-rumah asli Melayu lama, malah ada sebahagiannya telah pun berusia lebih ratusan tahun. Lebih menarik lagi, semua rumah yang ada di sini dibina tanpa paku dan mudah untuk dibuka dan dibangunkan semula. Hebat bukan nenek-moyang Melayu kita dulu-dulu!

Di Terrapuri Heritage Village ini, anda bukan sahaja boleh menginap, dan beristirehat malah lokasi ini juga menyediakan perkhidmatan pameran terbuka kepada seluruh pengunjung dengan caj bayaran RM25. Anda boleh menjelajah sekitar kawasan ini untuk melihat 29 buah rumah klasik berbeza yang mempunyai keunikan tersendiri.

Makan ICT di tepi pantai Penarik!

Ikan celup tepung! Di pinggiran pantai Penarik ini, anda bakal melihat banyak gerai yang menjual makanan yang digoreng celup tepung. Ikan, sotong, udang, anda namakan sahaja! Variasi pemilihan makanan laut boleh dinikmati sambil kita menikmati angin yang sepoi-sepoi.

Lokasi beriadah di petang hari

Selain daripada menikmati hidangan celup tepung, tempat ini juga menjadi tumpuan penduduk tempatan mahupun pelancong sebagai kawasan beriadah di waktu petang. Jadi, tidak hairanlah kalau anda dapat melihat ada yang membawa bekal makanan, berkelah seisi keluarga, ada yang bermain bola tampar pantai dan ada juga yang berjalan-jalan di sekitar pantai untuk berfoto sambil menikmati matahari terbenam.

Foto : @discoverkampungmangkuk

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat, jadilah warganegara yang bertanggungjawab.

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *