6 aktiviti menarik di Setiu Wetland, Terengganu

Untuk pengetahuan umum, Setiu Wetland merupakan kawasan yang mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubung iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau dengan keluasan 23,000 hektar. Justeru itu, kali ini kami kongsikan 6 aktiviti menarik yang sesuai untuk anda cuba sewaktu berkunjung ke Setiu Wetland.

1. Menyusuri Sungai Setiu 

Salah satu aktiviti yang menarik untuk anda cuba adalah menaiki bot untuk menyusuri sungai Setiu. Lupakan seketika segala masalah yang anda alami dengan menghayati pemandangan alam yang tenang dan damai ini. Selalu menghabiskan hari-hari anda di kota dengan penuh hiruk-pikuk duniawi? Sesekali, anda harus meluangkan waktu dengan menikmati panorama alam untuk segarkan semula tubuh anda! 

foto: @hangdhamin

2. Misi mencari Kepah

Kepada anda yang membesar di kawasan bandar, ayuh cuba aktiviti yang baru iaitu mencari kepah! Mungkin anak-anak yang membesar di kawasan pantai pastinya sudah terbiasa dengan aktiviti ini namun pasti lebih ramai yang menganggap aktiviti mencari kepah merupakan aktiviti yang luar biasa. Jangan risau, operator yang bertanggungjawab pasti akan tunjuk ajar bagaimana cara untuk kita mencari kepah dengan mudah dan selamat. Haaa kepada yang suka makan kepah, ini merupakan peluang anda untuk merasai sendiri pengalaman mencari kepah di Sungai Setiu. Pasti amat menyeronokkan kalau lakukan aktiviti ini secara beramai-ramai! Bertambah seronok sekiranya anda berjaya mengutip kepah dalam jumlah yang banyak. Makanlah sampai kenyang!

3. Treasure Lokan

Selain mencari kepah, anda juga boleh mencari lokan. Kalau belum pernah makan lokan, anda boleh scroll untuk melihat gambarnya di bawah. Lokan boleh didapati di sekitar kawasan berselut yang juga sebahagian daripada Sungai Setiu ini. Justeru itu, pastikan anda memakai pakaian yang bersesuaian dengan aktiviti yang ingin dijalankan. Dengan aktiviti mencari lokan, anda bukan sahaja boleh mendapat pengalaman dan mempelajari ilmu baru malah secara tidak langsung dapat mendidik diri untuk menjadi seorang yang bersabar kerana aktiviti ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Nampak macam mudah sahaja mencari lokan namun hakikatnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

4. Dekati alam menerusi Setiu Boardwalk

Jika anda sudah berada di Setiu Wetland, jangan lepaskan peluang untuk menyusuri Setiu Boardwalk iaitu pelantar kawasan paya bakau. Menerusi Boardwalk ini, anda boleh mengetahui pelbagai informasi menarik berkaitan khazanah alam menerusi papan tanda yang diletakkan. Selain melihat tanaman paya bakau, anda juga bakal menemui pelbagai spesies hidupan seperti ikan belacak, ketam dan orkid liar di sekitar Boardwalk tersebut. Tidak ketinggalan, lokasi ini juga adalah spot yang ‘instagrammable’!

foto: @hangdhamin

5. Melawat ke Sangkar Ikan

Semasa di Setiu Wetland, anda juga boleh berkunjung ke sangkar ikan yang terletak di Sungai Gong Batu. Antara ikan yang diternak di sini ialah ikan Kerapu yang bermutu tinggi dan mendapat permintaan yang lumayan daripada pengusaha-pengusaha hotel dan restoran di seluruh negara.

foto: @hangdhamin

6. Pelajari gaya hidup tradisional di Rumah Tok

Alang-alang anda berkunjung ke Setiu Wetland, ayuh melawat ke Rumah Tok yang terletak di perkampungan nelayan tradisional Kampung Mangkuk. Rumah Tok ini memberi gambaran sebenar kesederhanaan kehidupan masyarakat Melayu pada masa lalu yang semakin dilupakan oleh masyarakat zaman sekarang. Saat anda tiba di Rumah Tok ini, anda pasti akan terpesona dengan seni bina yang ‘simple’ tetapi amat menyenangkan dan dekat di hati. Sudah pasti jika membawa orang tua kita ke sini, mereka terkenang akan nostalgia zaman kanak-kanak.

Malah anda juga mungkin akan terkenangkan pengalaman berkunjung ke rumah datuk dan nenek. Uniknya, Rumah Tok ini didirikan sekitar 15 tahun lalu oleh dua orang wanita yang bersahabat baik tanpa bergantung kepada orang lain. Siapa cakap wanita Melayu tidak hebat bertukang? Rumah Tok ini bukti teguh bahawa wanita Melayu itu perkasa! 

Di Rumah Tok ini, anda bukan sahaja boleh menginap untuk merasai kehidupan sebagai masyarakat desa buat seketika, malah anda juga berpeluang untuk menyertai aktiviti membuat barangan kraftangan seperti bakul dan tikar, demonstrasi memasak makanan tradisional Terengganu seperti satar dan banyak lagi. Best juga sesekali dapat mempelajari ilmu gaya hidup tradisional masyarakat Terengganu!

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!

Boleh tengok juga video 12 Tempat Menarik di Setiu Wetland untuk info lebih lanjut


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

2 Responses

  1. Aidan says:

    cantik gambar, ambik pic guna camera apa atau pakai phone je?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *