Lawati tarikan artistik di Street Art Muar, Johor

Street Art Muar

Bandar Muar merupakan satu lagi bandar yang menarik untuk dilawati di negeri Johor. Bandar ini sangat sinonim dengan hidangan Mee Bandung Muar dan juga Asam Pedas. Muar juga pernah dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih di ASEAN pada Forum Pelancongan Asean 2018 di Chiang Mai, Thailand.

Kali ini, kami nak kongsikan satu lagi tarikan yang boleh anda kunjungi di Muar iaitu seni jalanan ataupun Street Art Muar. Memandangkan Muar antara bandar yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri, makanya nilai sejarah ini telah diangkat dan diadaptasikan melalui lukisan-lukisan mural di dinding-dinding bangunan yang penuh dengan maknanya  tersendiri.

Lebih 30 lukisan mural yang berwarna warni!

Untuk makluman anda, sehingga kini terdapat lebih 30 lukisan mural yang tersergam indah di sekitar bandar Muar. Kesemua mural ini terletak di empat lokasi utama iaitu di:

  • Muar Cultural Walk (Jalan Meriam)
  • The Great Mural of Muar (Jalan Arab)
  • Mural: The Bond (Jalan Yahya)
  • Maharani Lane (Jalan Sisi)

Hayati budaya masyarakat di celahan lorong!

Kebanyakkan mural yang berada di sekitar Muar ini berkonsepkan budaya masyarakat tempatan. Jadi, tidak hairanlah sekiranya anda berjalan-jalan di celahan lorong lalu melihat banyak lukisan mural yang memaparkan gambar seperti alatan muzik dan tarian tradisional Johor serta gaya hidup masyarakat terdahulu. Anda pasti terimbau kenangan lalu saat menatap mural-mural di Muar ini kerana setiap lukisan mempunyai nilai nostalgia yang tersendiri.

‘The Loving Sisters’ mural terbesar di Malaysia!

Salah-satu lukisan mural yang seringkali mendapat perhatian umum adalah mural ‘The Loving Sister’. Karya yang dihasilkan oleh Julia Volchkov, seorang artis dari Rusia ini telahpun diiktiraf sebagai lukisan mural terbesar oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun 2016. Lukisan mural ini memaparkan wajah dua orang adik-beradik perempuan rakyat tempatan pada dinding bangunan empat tingkat di Jalan Bulatan Bakri. Ia berjaya meraih perhatian pengunjung bukan hanya kerana lukisan tersebut bersaiz gergasi malahan, sentuhan emosi yang digambarkan oleh Julia jelas berjaya menyentuh hati ramai orang.

Cantik untuk OOTD!

Penggunaan warna yang ceria dan sentuhan kreatif pada setiap lukisan mural yang ada di sekitar Muar membuatkan kawasan tersebut kelihatan ceria dan artistik. Selain itu, beberapa mural turut menggunakan teknik 3D dan ini menjadikannya lebih menarik. Memang sesuai untuk dijadikan lokasi wajib berfoto kerana karya-karya agung yang dihasilkan oleh anak seni tempatan dan luar negara ini sememangnya menarik untuk dikongsi dalam sosial media sebagai tatapan umum. Jangan lupa untuk ekspresikan diri anda sewaktu berfoto!

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *