Belajar buat sata di Rumah Tok – Setiu, Terengganu

Rumah Tok – Setiu, TerengganuSekiranya anda berkunjung ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan tradisional masyarakat di sana iaitu sata. Hidangan istimewa yang berasakan ikan ini sememangnya popular di pantai timur. Kebiasaanya, sata dijual di pinggiran jalan, pasar-pasar malam dan gerai-gerai yang turut menjual makanan ringan seperti otak-otak dan keropok lekor. Selain dimakan begitu sahaja, sata juga sesuai dinikmati bersama nasi. Bagi anda yang ingin merasai pengalaman untuk membuat hidangan warisan ini, anda boleh mencubanya di Rumah Tok yang terletak di Kg Mangkok, Setiu, Terengganu.

Ada apa di Rumah Tok ?

Rumah Tok ini adalah sebuah rumah melayu lama yang dibina lebih 15 tahun dahulu oleh dua orang wanita iaitu Wan Lijah dan Zaharah Sulong. Tempat ini diselia oleh Setiu Wetlands Ecotourism Discovery (EcoSwed), sebuah NGO yang menyelaraskan aktiviti di kawasan Setiu Wetland ini. Rumah Tok kini menjadi pusat aktiviti antara pelancong dan komuniti tempatan. Dimana para pelancong berpeluang untuk belajar aktiviti seperti membuat bakul dan tikar disamping demonstrasi memasak seperti sata dan makanan lain berasaskan ubi kayu & pisang. Ketika lawatan kami ke sana, kami berpeluang mencuba aktiviti membuat hidangan asli dari Terengganu iaitu sata.

Mudah bukan sekadar kata!

Bagi menghasilkan hidangan sata yang enak, penyediaan ramuan yang lengkap dan cara penghasilannya perlu diberi perhatian. Mungkin ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa mudah sahaja untuk menghasilkan sata namun, harus diingat bahawa makanan yang mudah dihasilkan juga berisiko tinggi untuk menjadi makanan yang mudah di ‘rosak’ atas kesilapan yang kecil. Disini kami senaraikan bahan dan proses membuat sata;

Bahan yang diperlukan:

  • Isi ikan 
  • Bawang merah
  • Kelapa parut muda
  • Halia
  • Halba
  • Air asam jawa
  • Lada potong
  • Garam + gula + serbuk perasa
  • Daun pisang

Proses pembuatan sata:

  • Gaulkan semua bahan sehingga sebati dan secukup rasa
  • Bungkuskan ramuan tersebut dengan daun pisang sehingga menjadi bentuk kon/piramid
  • Cucuk setiap sata hingga kelihatan seperti sate gergasi dengan batang buluh 
  • Panggang atas bara api

Tips dapatkan sata yang enak!

  • Isi ikan: disarankan untuk mengguna isi ikan Selayang
  • Penyediaan ramuan sata juga melibatkan kelapa. Jadi, jika sata tidak disediakan dengan bersih, ia boleh menjadi basi dalam tempoh masa yang singkat
  • Sata memerlukan proses memanggang. Jika tidak kena pada cara, sata mungkin akan hangit di bahagian luar tetapi mentah di bahagian dalam. Justeru itu, anda perlu berjaga-jaga semasa memanggangnya
  • Bagi menjaga kualiti rasa, anda disarankan untuk menggunakan bahan yang segar (khususnya isi ikan dan kelapa)

Apa beza sata dengan otak-otak?

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa beza sata dengan otak-otak? Perkara ini kerana jika dilihat sekilas lalu, kedua jenis makanan ini berasaskan isi ikan dan melalui proses memanggang. Namun begitu, masih terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua makanan ini. Perbezaannya terletak pada bentuk, rupa, warna dan cara bungkusannya. Sata diletakkan dalam lapisan daun pisang manakala otak-otak dibalut menggunakan daun kelapa.

Rasai pengalaman tidur di rumah kampung

Selain itu, anda boleh membuat tempahan untuk menginap di Rumah Tok ini bagi merasai pengalaman tidur di rumah tradisional Melayu. Namun tempahan untuk penginapan adalah sangat terhad kerana ianya akan ditutup sekiranya ada aktiviti komuniti yang akan dijalankan.

Sekiranya anda ingin cuba pengalaman membuat sata ataupun menginap di sini, boleh berhubung terus dengan pihak EcoSwed di talian 011-18988107

Alamat:
Lot 1001, Jalan Penarik – Kuala Terengganu,
Kampung Mangkok, Setiu 21090, Terengganu

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!

Boleh tengok juga video 12 Tempat Menarik di Setiu !


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *