OOTD di Setiu Wetland Savannah & beli kraftangan di Bazaar Pengkalan Gelap – Terengganu
Rasanya tidak lengkap sebuah percutian kalau tidak bergambar kan? Lebih-lebih lagi sewaktu berkunjung ke destinasi yang mempunyai panorama yang menakjubkan. Baru-baru ini team Kaki Travel berpeluang menjejakkan kaki ke Setiu, Terengganu. Kami sempat berkunjung ke satu ‘hidden spot’ yang memang cantik sangat untuk jadikan lokasi bergambar. Geng OOTD, ada port khas buat anda iaitu di Setiu Wetland Savannah!
Rasa macam di Afrika!
Setiu Wetland Savannah ini merupakan sebuah kawasan lapang yang penuh dengan tumbuhan lalang. Tempat ini terletak di tepi jalan besar dari Penarik ke Kuala Besut. Jika sekilas lalu, pasti anda tidak perasan akan kewujudan tempat ini kerana lokasinya nampak seperti ‘tiada apa-apa’ tetapi hakikatnya tempat ini sekiranya difoto dengan jelas akan kelihatan seperti berada di Afrika! Cantik sangat lebih-lebih lagi ketika di hari petang.
Tips untuk gambar cantik di sini:
• Pakai baju warna terang
• Bawa sedikit props seperti topi, payung, selendang etc!
• Datang waktu pagi
Singgah ke Bazaar Kraftangan Pengkalan Gelap
Alang-alang anda berkunjung ke Setiu Wetland Savannah, jangan lupa untuk singgah ke Bazaar Kraftangan Pengkalan Gelap. Tempat ini terletak tidak jauh daripada Setiu Wetland Savannah. Di sini, terdapat banyak kedai yang menjual hasil kraftangan seperti bakul, tikar, tudung saji dan pelbagai lagi hasil kraftangan yang telah dihasilkan oleh orang tempatan. Anda boleh dapatkan hasil kraftangan di sini dengan harga yang murah bermula dari RM5 – RM10 sahaja.
Jika anda bernasib baik, anda boleh melihat demonstrasi penghasilan kraftangan semasa berkunjung di bazaar ini. Bolehlah anda cuba-cuba buat sekali ya! Selain itu, turut dijual di sini adalah hasil tangkapan seperti lokan dan kepah.
Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…
Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!
Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!