Dataran Tanjung Emas – spot cantik untuk beriadah di Muar, Johor

Tentu seronok jika diberi kesempatan untuk meluangkan waktu bersama dengan insan yang tersayang pada hujung minggu. Kesibukan kerja yang kadang-kadang membuatkan anda pening kepala pasti terubat saat anda beriadah dengan mereka. Justeru itu, kali ini kami nak kongsikan satu lagi tempat riadah yang sesuai untuk anda kunjungi iaitu di Dataran Tanjung Emas yang terletak dalam daerah Muar, Johor.

Port riadah pada hujung minggu!

Dataran Tanjung Emas sememangnya popular sebagai tempat beriadah dikalangan warga tempatan di Muar, Johor. Hal ini kerana kawasannya yang luas dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam seperti trek jogging & taman permainan kanak-kanak. Di setiap hujung minggu kita akan dapat melihat orang ramai datang ke sini terutamanya yang datang bersama keluarga. Anda juga turut berpeluang melihat Masjid Sultan Ismail yang berada di seberang sungai.

Hayati keindahan Bandar Maharani DiRaja menerusi Muar River Cruise!

Untuk makluman, Dataran Tanjung Emas terletak di muara Sungai Muar. Oleh itu, anda boleh menikmati pemandangan Sungai Muar yang indah dengan cara berjalan kaki di laluan pejalan kaki yang berada di tebing sungai (dalam kawasan dataran). Selain itu, anda juga boleh menaiki ‘Muar River Cruise’ selama 45 min – 1 jam di Jeti Tanjung Emas bagi menghayati pemandangan Bandar Muar. Kapal yang boleh memuatkan sehingga 40 orang dalam satu masa ini akan membawa anda menyusuri Sungai Muar selama lebih kurang 30 minit.

Foto: Muar River Cruise
Foto: Muar River Cruise
Foto: Muar River Cruise

Suasana ceria di malam hari!

Menariknya di Dataran Tanjung Emas ini, anda juga boleh datang beriadah pada malam hari. Terdapat pelbagai arca & dekorasi yang dihiasi lampu berwarna-warni, sekaligus membuatkan dataran ini kelihatan lebih meriah terutamanya pada malam minggu. Selain itu, terdapat juga peniaga kecil yang menjual makanan dan minuman di sekitar dataran ini. Memang seronok kalau dapat lepak bersama rakan-rakan sambil borak santai di malam hari dekat sini!

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *