7 tempat makan anda wajib cuba di Muar – Johor

Rasanya tak lengkap kalau pergi bercuti tanpa berkunjung ke kedai makan yang sedap. Baru-baru ini team Kaki Travel berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Muar, Johor. Bandar yang sememangnya popular dengan pelbagai menu makanan. Kami sempat mencuba beberapa tempat makan yang menarik sepanjang kami berada di sana.
Jadi kami senaraikan 7 tempat makan yang berbaloi untuk anda singgah jika anda ke Muar.

1. R&H Cafe

Kafe ini terletak di Taman Seri Temenggong, Muar dan ia menjadi pilihan ramai terutamanya ketika waktu sarapan pagi. Menu yang popular di restoran ini adalah Sate Maharani. Bagi anda yang belum tahu, orang Johor menjadikan sate sebagai hidangan sarapan pagi! Selain sate, menu-menu lain yang turut mendapat sambutan di sini adalah Mee Bandung, Tahu Lentok & Lontong.

Alamat:
R&H Café
No 15, Jalan Sri Temenggong 26,
Taman Sri Temenggong, Muar

2. Mee Bandung Abu Bakar Hanipah

Buat peminat mee bandung, jangan lupa singgah ke restoran mee bandung yang terkenal di Muar iaitu Mee Bandung Abu Bakar Hanipah. Menurut pemiliknya Encik Abu Bakar, gerai menjual mee bandung ini bermula daripada zaman ayahnya sejak dari tahun 1930an lagi. Ia turut menjadi tumpuan orang-orang kenamaan seperti kerabat Diraja Johor serta Perdana Menteri kita sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selain mee bandung, anda juga boleh cuba mee goreng, nasi goreng dan sate yang enak di restoran ini.

Alamat:
Mee Bandung Abu Bakar Hanipah
69-A Jalan Abdullah, Pekan Muar,
84000 Muar, Johor

3. Asam Pedas JJ

Selain sate & mee bandung, Muar juga terkenal dengan hidangan asam pedas. Kami sempat mencuba asam pedas di Restoran Asam Pedas JJ yang terletak di Jalan Junid, berhampiran dengan Dataran Tanjung Emas. Di sini anda boleh memilih pelbagai jenis asam pedas seperti asam pedas pari, ikan mayong, jenahak dan telur ikan. Ramai pengunjung luar yang gemar singgah makan disini kerana kuah asam pedasnya yang pekat. Memang tak mengecewakan!

Alamat:
Asam Pedas JJ
Jalan Junid, Taman Sri Tanjung,
84000 Muar

Foto: Asam Pedas JJ
Foto: Asam Pedas JJ

4. Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Buat peminat makanan laut, jom singgah makan di Medan Ikan Bakar Sabak Awor yang terletak kira-kira 5 KM dari bandar Muar. Di sini terdapat lebih dari 10 gerai yang menyajikan masakan berasaskan hasil laut. Anda boleh memilih pelbagai jenis menu masakan laut seperti udang, ketam, sotong, ikan kerapu, siakap, kepah dan banyak lagi! Paling penting, harga makanan di medan selera ini sangat berpatutan!

Alamat:
Medan Ikan Bakar Sabak Awor
8, Medan Selera, Jalan Cahaya, Sabak Awor,
84000 Muar

5. Burger D’raje

Malam-malam kalau lepak makan burger pun sedap jugakan?  Bagi peminat makanan barat, anda boleh ke Burger D’raje yang terletak di Jalan Parit Raja Tengah. Di sini, anda dapat menikmati hidangan western dan grill seperti Burger Bakar, Nasi Rotojo, Chicken Chop, Nachos Grill Chicken, Dessert Bee King dan banyak lagi! Saiz hidangan yang disajikan sangat besar dan mengenyangkan! Berbaloi dengan harganya yang berpatutan!

Alamat:
Burger D’raje
Jalan Parit Raja Tengah,
Jalan Parit Raja, 84000 Muar

6. Kopi 434

Jika anda mencari tempat makan yang santai, jom ke kafe Kopi 434 yang terletak betul-betul di tengah bandar Muar. Restoran ini menyajikan kopi tempatan dari biji kopi jenis liberica ataupun dikenali sebagai Elephant Bean kerana saiznya yang besar. Di sini, anda boleh nikmati secangkir kopi sambil menggamit memori kerana susasana dalam kafe ini sangat nostalgia!

Pasti ramai yang tertanya apa maksud 434? Sebenarnya, 434 adalah 3 digit terakhir bagi nombor telefon kedai pengeluar kopi ini iaitu Sai Kee Kopi. Oleh kerana warga tempatan Muar lebih selesa memanggil dengan nama 434, lantas pihak pengurusan meneruskan nama panggilan tersebut iaitu kopi 434.

Alamat:
Kedai Kopi 434
121, Jalan Maharani, Taman Sri Emas,
84000 Muar

7. Muar Art Café

Sekiranya anda mencari tempat makan yang artistik seperti sebuah galeri seni, jom ke Muar Art Café yang terletak dalam Muar Art Gallery. Kafe ini menyajikan aneka hidangan tempatan dan barat seperti mee bandung, sate vegetarian, dim sum, chicken chop dan macam-macam lagi. Selain itu, anda bukan sahaja boleh menikmati karya seni di art gallery ini, malahan anda juga berpeluang untuk mempelajari cara membuat kraf seni yang comel-comel!

Alamat:
Muar Art Café
66-1, Jalan Hang Tuah, Taman Junid Perdana,
84000 Muar 

Jadi jika anda ke Muar nanti, pastikan anda singgah ke tempat-tempat ini untuk merasai sendiri semua hidangan!

Boleh juga tengok video di chanel youtube kami mengenai tempat-tempat makan menarik di Muar !

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *