Di sebalik bumi Iran – Tips & perkongsian pengalaman
Selalunya kalau dengar Iran.. mesti ramai yang takut-takut nak ke sana. Risau tak selamat gara-gara negara Timur Tengah ni dikelilingi dengan negara jiran yang kurang aman kan. Tapi percayalah..Iran bukan seperti yang korang fikirkan!
Kali ini Kaki Travel sediakan tips & informasi menarik mengenai negara Iran yang dikongsikan oleh Gol e Roz di Facebooknya. Diharapkan perkongsian ini dapat memberi panduan serta manfaat kepada korang semua..
Salam sejahtera, untuk maklumat pembaca.. ini adalah kali ke-5 saya berkunjung ke Iran atas urusan peribadi & business. Buat masa ni saya dah cover sebanyak 22 wilayah daripada 31 wilayah yang ada di Iran. Trip kali ini saya bersama suami sememangnya ada misi untuk menamatkan kembara di Iran dengan melawat keseluruhan 31 wilayah.
Route kami secara ringkasnya kali ini adalah seperti berikut :
Langeroud – Laleijin – Hamedan – Kermanshah – Palangan – Sanandaj – Tehran
Selamat ke pergi Iran?
Kalau pembaca tanya saya selamat ke Iran? Jawapan saya sangat selamat. Boleh cakap lebih selamat dari Malaysia. Inshaallah. Cumanya, sekuriti pihak penguatkuasa Iran ni agak ketat. Maklumlah, seperti semua sedia maklum Iran ni banyak musuh ketat & keadaan geografi Iran juga dikelilingi oleh jiran-jiran yang tak aman. Sepanjang perjalanan roadtrip kami tu ada saja polis membuat sekatan jalanraya & menahan pemandu untuk membuat checking. Itu perkara biasa.
Waktu terbaik ke Iran?
Iran adalah negara 4 musim. Waktu terbaik untuk melawat ke Iran adalah sewaktu musim bunga diikuti dengan musim luruh yang bermula pada bulan Oktober. Musim panas di Iran bagi saya agak panas, terutamanya di belah Selatan Iran.
- Penerbangan
Kali ini saya ke Iran dengan menaiki Mahan Air, satu-satunya syarikat penerbangan kerajaan Iran. Selalunya tempahan penerbangan ke Iran saya buat awal 2-3 bulan sebelum saya berangkat ke Iran. Harga tiket yang saya beli ni adalah kelas ekonomi termasuk dengan 30 kg luggage.
Manfaat menaiki Mahan Air:
- Menawarkan penerbangan terus dari KL ke Tehran
- 2 x meal sepanjang tempoh 8 jam ke Tehran (pilihan makanan : ayam & daging lembu/kambing bersama yogurt, salad & kek mini)
- Menyediakan selimut, bantal kecil & sleep mask secara percuma (selimut perlu dipulangkan ke pihak Airline selepas habis penerbangan)
- Keadaan pesawat yang selesa & berpatutan dengan harga (kalau bernasib baik, tiket boleh dapat paling murah dengan harga RM1,601 untuk trip pergi balik)
Berbanding dengan Airline lain seperti Qatar Airways, Oman Air & Emirates bermula dengan harga RM3,200++ serta mempunyai transit, jadi saya rasa Mahan Air buat masa ini agak berbaloi.
- Insurans
Setahu saya buat masa ini tiada insurans dari Malaysia yang cover trip ke Iran, jadi saya cadangkan beli insurans lokal dari Iran dengan harga berpatutan. Banyak syarikat insurans dari Iran yang tawarkan travel insurans dengan harga serendah 400,000 – 600,000 Riyal.
- Pemakaian di Iran
Untuk makluman, Iran adalah salah sebuah negara yang diperintah oleh Rejim Republik Islam selepas tahun 1979 (boleh baca serba sedikit sejarah kejatuhan Pemerintahan Beraja keluarga Pahlavi & bagaimana Rejim Republik Islam bermula di Iran), jadi sebaik sahaja menjejaki kaki ke tanah Iran anda WAJIB menutup aurat tidak kira anda seorang Islam atau tidak.
Pemakaian wanita:
- Berhijab. Bagi yang bukan Islam jangan takut dengan kewajiban berhijab ni, cukup sekadar memakai selendang di kepala sepanjang di sana sudah memadai
- Berpakaian baju labuh yang menutup bahagian pinggul (dipanggil manto di Iran)
Pemakaian lelaki:
- Wajib memakai seluar panjang. Kalau nak pakai seluar pendek juga janganlah terkejut sekiranya anda menjadi perhatian sepanjang kat sana
Diharapkan warga Malaysia yang berniat ke Iran dapat mengikut peraturan yang ditetapkan. Nak ber-OOTD boleh, tiada masalah tapi biarlah dengan pakaian yang sesuai & sopan seperti norma masyarakat Iran. Buat masa ni track record kita di Iran sangat baik.
- Keperluan Visa
Free Visa – selama 15 hari bagi warga Malaysia yang melancong di Iran.
Trip kali ini saya di Iran selama sebulan jadi saya perlu buat permohonan visa melalui website & dalam masa 1-2 hari visa saya diluluskan. Selepas visa lulus, mereka akan memberi notifikasi melalui email, jadi saya akan ke Embassy Iran di KL untuk collection sekeping kertas visa dari mereka. Bayaran visa saya hanya RM38 (siap dalam 1 hari sahaja). Buat masa kini, tiada lagi visa pelekat (sticker) digunakan. Hanya sekeping kertas (Electronic Visa) dibekalkan.
Maklumat terkini yang saya dapat dari Embassy sejak dari bulan Mac tahun ini, pihak Imigresen Iran tidak lagi beri chop stamp masuk ke Iran samada untuk yang memegang Visa macam saya (sebulan visa) atau free visa selama 15 hari. Prosedur ini juga terpakai kepada pemegang passport warganegara selain Malaysia. Keputusan kerajaan Iran ni saya percaya ada kaitan dengan sanction oleh US terhadap mereka.
- Tukaran mata wang
Sehingga ke hari ini tiada money changer di Malaysia yang beroperasi boleh membuat pertukaran wang Ringgit ke Iranian Riyal. Ini berkaitan dengan sekatan (sanction) oleh US, Bank Negara Malaysia mengharamkan pertukaran wang antara Ringgit dan Riyal atas isu Money Laundering. Kalau anda ada jumpa yang beroperasi di Malaysia maksudnya illegal money changer lah tu.
Justeru, bawa mata wang USD atau Euro ke Iran & buat pertukaran currency di Imam Khomeini Airport, Tehran. Oleh kerana matawang USD tidak stabil di Iran, jadi saya cadangkan Euro adalah pilihan yang lebih baik. Sekiranya anda nak bawa Ringgit untuk ditukarkan juga diterima di Airport tapi mereka tidak terima dengan kadar yang banyak kerana Ringgit yang mereka ada terhad (tidak banyak tukaran Ringgit kepada Riyal). Jadi lebih selamat untuk bawa Euro berbanding Ringgit.
- Pengangkutan
Trip kali ini saya bersama suami memandu kereta dari satu wilayah ke wilayah lain. Memandangkan minyak agak murah di Iran (bagi sesiapa yang tidak tahu Iran adalah negara yang mempunyai sumber terbesar minyak dunia) namun, Iran mengalami sekatan ekonomi dari US yang menyukarkan mereka menjual hasil minyak kepada negara luar. Harga minyak Iran sewaktu trip saya ini lebih kurang RM0.32 seliter.
Pengangkutan awam agak sukar bagi laluan bagi trip kali ini, jadi kembara saya & suami dengan kereta amat memudahkan serta jimat masa. Tiada laluan train untuk wilayah-wilayah yang kami kunjungi kali ini dan juga bagi sesetengah tempat yang kami pergi juga tidak dapat di akses melalui bas awam.
- Penginapan
Saya & suami adalah pengunjung setia tempat-tempat penginapan seperti Eco-lodge and hostel-hostel di Iran. Eco-Lodge sangat popular bagi pelancong tempatan di Iran terutamanya di laluan-laluan yang bukan kebiasaan bagi pelancong asing. Seboleh-bolehnya kami berdua akan menginap di Eco-Lodge yang diusahakan oleh penduduk tempatan agar dapat mengenali lebih dekat budaya tempatan di wilayah Iran.
Setiap wilayah di Iran mempunyai kelainan dari segi budaya, loghat & adat. Senibina rumah juga berbeza & unik mengikut kesesuaian faktor cuaca & bentuk muka bumi di wilayah masing-masing.
- Makanan tempatan
Kebanyakkan makanan Iran adalah seperti daging-daging bakar (kabab), salad & yogurt. Mereka juga gemar makan buah-buahan dalam diet harian mereka. Bagi pendapat saya makanan orang Iran agak sihat, jadi tak hairanlah orang-orangnya bebas dari masalah obesiti & berat badan berlebihan.
Setiap wilayah Iran terdapat makanan special tersendiri, jadi saya & suami selalunya akan ambil peluang untuk mencuba makanan istimewa di setiap wilayah yang kami kunjungi.
Buah-buahan murah :
Trip saya kali ini adalah pada penghujung musim bunga & awal musim panas jadi banyak buah-buahan tempatan yang dijual di Iran dengan harga yang sangat murah seperti strawberry, cherry, anggur & banyak lagi.
Masakan pedas :
Makanan masyarakat Iran tidak sepedas makanan di Malaysia. Sekirannya anda gemar makanan pedas, bolehlah bawa sambal kering sendiri kalau nak berkunjung ke Iran. Makanan pedas is almost impossible nak jumpa di Iran.
Makanan non-halal :
Di Iran tiada penjualan makanan & minuman yang tidak halal seperti daging khinzir & arak. Sekiranya ada, mungkin dibawa masuk secara illegal dari negara luar.
Maaflah kalau saya katakan ada segelintir orang kita yang berpendapat sembelihan orang syiah ni haram di makan. Islam itu mudah.. kalau was-was tak usah travel ke Iran & kalau nak travel juga, masak sendiri di sana ataupun makan ikan, sayuran atau buah. Hidup ini mudah buat apalah nak dirumitkan keadaan. Saya banyak perhatikan yang banyak komen negatif pasal Iran ni tak pernah pun jejak kaki ke Iran.
- Kraftangan mengikut etnik
Satu habit saya apabila berkunjung ke Iran adalah wajib pergi ke bazaar-bazaar tradisional di setiap wilayah yang dikunjungi. Bagi saya, bazaar di Iran sangat menarik & setiap wilayah menghasilkan barangan handicraft yang istimewa bagi masyarakat wilayah tersebut.
Setiap wilayah Iran didiami oleh kaum atau etnik Iran yang berbeza seperti Kurdish, Lur, Bakhtiari (yang hidup secara Nomad). Perihal ini menarik perhatian saya kerana di bazaar-bazaar inilah suku etnik yang pelbagai menghasilkan kraftangan yang unik bagi etnik mereka. Bagi penggemar hasil kraftangan, bolehlah ke Iran bagi melihat sendiri bagaimana kraftangan dihasilkan & shopping dengan harga yang sangat berbaloi.
- Media Sosial di Iran
Penggunaan Facebook di Iran adalah di banned, jadi agak sukar nak melayari laman fb ketika di Iran. Anda perlu install aplikasi VPN untuk melayari laman fb ketika berada di Iran. Namun, aplikasi seperti Instagram, Google & lain-lain boleh di akses tanpa masalah.
Jangan lupa untuk LIKE Facebook Kaki Travel bagi mendapatkan lebih banyak informasi yang terkini!