Terokai keunikan Rumah Botol di Setiu, Terengganu
Terengganu merupakan sebuah destinasi yang sering mendapat perhatian umum dengan daya tarikan yang tersendiri. Antaranya adalah kejernihan air di pulau-pulaunya serta ia merupakan sebuah negeri yang kaya dengan seni warisan budaya. Bagi anda yang merancang untuk ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi sebuah galeri yang dikenali sebagai Rumah Botol. Galeri yang memaparkan pelbagai koleksi botol ini terletak di Kampung Penarik, Setiu iaitu kira-kira 50 minit dari Kuala Terengganu.
Terdapat lebih 7000 koleksi botol!
Niat murni seorang warga emas yang mula mengutip botol-botol kaca di persisiran pantai akhirnya mengumpulkan lebih 7,000 koleksi botol. Rumah Botol merupakan sebuah galeri persendirian yang dibina oleh Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, 74 atau lebih dikenali sebagai Ayahku. Idea pembinaan Rumah Botol tersebut telah dicadangkan oleh isteri Ayahku, Jamaliah Kamarudin, 64 selepas suaminya sering membawa pulang koleksi-koleksi botol tersebut ke rumah mereka. Beliau meluahkan rasa bangga kerana niat awal suaminya yang hanya ingin memelihara dan memulihara kawasan pantai setempat serta menjaga keselamatan orang awam kini bertukar sebagai salah satu daya penarik buat industri pelancongan tempatan.
Kisah botol hanyut 14 tahun…
Menurut Ayahku, setiap botol mempunyai cerita yang tersendiri. Salah satu cerita menarik yang sempat dikongsi oleh Ayahku adalah mengenai salah satu botol daripada koleksinya yang berisi surat tulisan bahasa Korea. Botol tersebut dipercayai telah hanyut di lautan lebih kurang 14 tahun. Ketika galeri itu dikunjungi oleh salah seorang pelancong Korea, beliau telah membantu Ayahku menterjemah salah satu pesanan ringkas di dalam sebuah botol yang berbunyi:
“Kepada sesiapa yang menemui surat ini,
Tolong doakan perkahwinan kami direstui keluarga.”
Wah! Macam dalam drama Korea kan?
Lokasi seindah pelangi!
Dari luar, pengunjung pasti teruja dengan pemandangan galeri Ayahku kerana bangunannya berwarna-warni yang membuatkan kawasan galeri ini kelihatan seperti ‘memanggil-manggil’! Dengan koleksi botol yang aneka ragam dan warna, ditambah pula dengan bangunan galeri yang dicat persis warna pelangi secara tidak langsung membuatkan kawasan Rumah Botol mempunyai daya pemukau tersendiri! Rugi rasanya kalau dah singgah sini tanpa berfoto kerana lokasinya sangat ‘instagrammable’!
Dengan jumlah botol yang dapat kita lihat di sini menunjukkan masih banyak sampah-sampah yang dibuang di merata tempat. Jadi pastikan anda menjaga kebersihan tempat-tempat pelancongan supaya ia dapat dihayati dan dirasai oleh generasi akan datang!
Alamat:
Rumah Botol Ayahku
Jalan Penarik-Mangkuk, Kampung Penarik
21010 Setiu Terengganu
Tel: 013-3990996
Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…
Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!
Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!