Pelajari cara membuat otak-otak di Muar Yi – Johor

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan. Setiap daerah atau negeri pastinya mempunyai hidangan istimewa mereka tersendiri. Kali ini kami nak kongsikan dengan anda salah satu makanan yang menarik untuk dicuba di Muar iaitu otak-otak. Sebenarnya di Muar terdapat satu tempat di mana anda boleh belajar dan merasai pengalaman untuk membuat sendiri otak-otak, iaitu di Muar Yi.

Muar Yi – bangunan lama penuh nostalgia

Muar Yi merupakan sebuah pusat informasi pelancongan berkaitan bandar Muar. Ia terletak Jalan Ali, di tengah pusat bandar Muar. Sekiranya anda memerlukan lebih maklumat ataupun ingin mendapatkan cadangan tentang tempat menarik di Muar, ini merupakan tempat yang patut anda singgah.

Selain daripada mendapatkan maklumat berkaitan bandar Muar, Muar Yi juga sering dijadikan sebagai salah-satu spot untuk berfoto kerana struktur bangunannya yang lama dan mempunyai nilai sejarah.

Jom belajar cara buat otak-otak!

Salah satu aktiviti menarik yang ditawarkan di Muar Yi ini adalah pengunjung dapat belajar cara-cara membuat otak-otak. Anda akan diajar bermula daripada proses meletakkan isi ikan ke daun kelapa hingga ke proses membakarnya.. Jadi anda akan dapat rasa otak-otak hasil air tangan sendiri!

Bayaran yang dikenakan untuk menyertai aktiviti ini adalah RM15 seorang sahaja (4 orang minimum). Menurut pengendali tempat ini, Encik Kai Da, otak-otak di Muar berbeza dari tempat lain kerana ia menggunakan isi ikan tenggiri, berbanding di tempat lain yang menggunakan ikan jenis lain. Jika anda ingin mencuba aktiviti ini, boleh terus hubungi En Kai di talian +6017-6135359

Bersama Mr Kai Da

Proses pembuatan otak-otak

Disini kami kongsikan sedikit resepi dan proses pembuatan otak-otak untuk anda pelajari.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

  • Bahan A (dikisar, ditumis dan disejukkan)
    • 3 sudu besar cili kisar
    • ½ labu besar bawang merah
    • 3-4 batang serai dihiris halus
    • 3 biji buah keras
    • 2 sudu besar minyak masak untuk tumisan
  • Bahan B
    • 2 cawan isi ikan dikisar halus (boleh guna ikan tenggiri)
    • 1 biji telu gred A
    • ½ – 1 cawan santan pekat (ikut kepekatan adunan, jangan sampai terlalu cair)
    • 2-3 sudu besar serbuk kunyit
    • Sedikit pewarna merah (jika perlu)
  • Bahan C
    • Daun kelapa/ daun pisang

Proses Pembuatan:
Bahan A yang siap ditumis digaul dengan Bahan B dalam masa 5 minit bagi mendapatkan isi yang kenyal. Boleh tambah perasa, gula, garam dan ajinamoto jika mahu sewaktu digaul bahan-bahan tersebut. Kemudian, balut dengan daun yang anda pilih lalu panggangnya di atas api.

  • Tips
    • Jika anda gemar versi pedas, boleh campur cili kisar dengan cili padi
    • Gaulkan bahan A dan bahan B lebih kurang 5 minit untuk mendapatkan isi yang kenyal
    • Selain daun pisang dan daun kelapa, anda juga boleh membalut menggunakan daun pucuk nipah atau daun pandan
    • Jika ada lebihan isi yang belum dipanggang, anda boleh menggunakannya untuk dijadikan popiah otak-otak

Alamat :
Muar Yi
33, Jalan Ali, Pekan Muar,
84000 Muar
Tel : +6017-6135359

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *