Boleh terbang Ke Thailand, Kemboja Guna VTL Mulai 15 Mac
Berita gembira buat rakyat Malaysia! Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) kini akan diperluaskan operasinya ke Thailand dan Kemboja mulai 15 Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata langkah itu dibuat susulan perbincangan yang membuahkan hasil bersama kedua-dua negara sebagai inisiatif ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Menurutnya, melalui VTL berkenaan pengembara yang lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.
“Untuk VTL ke Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur – Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur – Phuket.
“Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada persetujuan bersama oleh kedua-dua negara,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, bagi VTL ke Kemboja pula, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan sehari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.
“Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ka Siong turut memaklumkan bahawa kesemua laluan VTL itu akan dikendalikan oleh syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL dengan protokol kesihatan yang lengkap.
Pada masa sama, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN berhubung pembukaan semula laluan penerbangan.
“Kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa,” ujarnya.