6 Destinasi Khazanah Menarik Di Perak Yang Wajib Korang Kunjungi, Jom #TravelPerakLah

Apa yang menarik di Perak? Sebenarnya Perak adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai khazanah alam, malah sesetengah tempat di Perak telah diiktiraf oleh UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization).

Berkeluasan 20,976 kilometer persegi iaitu merangkumi 6.4 peratus dari keluasan Malaysia ia menjadikan Perak sebagai negeri keempat terbesar di Malaysia.

Bagi korang yang gemar dengan sejarah, ini adalah senarai tempat di Perak yang wajib korang kunjungi:

TT5 TIN DREDGE

Terletak kira-kira 40 minit dari Ipoh, Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 di Batu Gajah ini merupakan kapal korek biji timah terakhir di Malaysia.

Kapal korek ini pernah dijadikan sebagai lubuk pekerjaan bagi warga tempatan menggali biji timah di bawah seliaan penjajah Inggeris pada awal kurun ke-20.

Walaupun sudah berusia 85 tahun tetapi kapal korek ini masih tersergam indah dan terapung di bawah pengurusan Kerajaan Negeri Perak. Kudos! Kepada Kerajaan Perak kerana masih memelihara khazanah yang menyimpan seribu satu cerita bagi generasi baharu.

VICTORIA BRIDGE

Kepada kaki bergambar ini tempat paling wajib korang singgah bila sampai di Perak.

Terletak 10 kilometer dari Kuala Kangsar, Victoria Bridge di Seberang Karai, Padang Rengas ini merupakan jambatan kereta api tertua di Malaysia yang merentasi Sungai Perak bagi menghubungkan Bandar Kuala Kangsar dan menjadi laluan pengangkutan bijih timah di antara negeri Melayu Barat.

Adakah ia masih menjadi laluan kereta api? Oh! Sama sekali tidak, Kerajaan Perak telah mengantikan jambatan konkrit bagi perkhidmatan kereta api. Jadi, ia selamat untuk korang datang melawat dan bergambar sakan.

MASJID UBUDIAH

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar ini dibangunkan pada tahun 1913, namun pembinaannya siap sepenuhnya pada 1917 setelah marmar yang di import khas dari Itali tiba setelah tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Apa cerita yang menarik? Ubudiah ini bermaksud pengabdian kepada Allah Swt. Di mana, Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul ‘adzam Shah telah bernazar membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya baginda pulih daripada ‘gering’ (sakit).

Masjid yang berbentuk oktagon atau segi lapan dan mempunyai empat buah menara dengan khubah berwarna kuning emas ini merupakan salah satu rumah ibadat orang Islam paling cantik di Malaysia.

ISTANA KENANGAN

Istana Kenangan atau dikenali sebagai Istana Lembah dan Istana Tepas ini terletak tidak jauh dari Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah.

Istana yang berdinding kelarai dan berbumbung perabung pisang sesikat ini telah dibina selepas berlaku banjir besar yang melanda Negeri Perak pada tahun 1926.

Bangunan ini dibina di atas 60 batang tiang, panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Malah bentuk bangunan ini sekiranya dipandang dari udara kelihatan seperti sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya. Ia melambangkan Istana Kenangan ini sebagai senibina Melayu tradisional yang mengkagumkan.

MASJID MUHAMMADIAH

Masjid Muhammadiah di Ipoh ini dikenali dengan nama Masjid Cina oleh penduduk tempatan. Masjid pertama di Malaysia yang menggunakan sepenuhnya senibina Cina.

Masjid ini 100% mengekalkan identiti senibina bangunan tradisi Cina iaitu ‘bumbung panjang’ dan ‘bumbung lima’, warna merah dijadikan sebagai warna utama dan pohon buluh ditanam di sekitar masjid.

Apa yang membanggakan, masjid ini juga menjadi salah satu tarikan kepada pelancongan bukan Islam.

GALERI RUMAH LAT

Siapa dekat sini suka tengok ‘Kampung Boy’? sebuah siri kartun yang memaparkan hidup ‘Mat’ sebagai seorang anak kampung.

Galeri Rumah Lat yang terletak di Batu Gajah ini merupakan sebuah galeri yang menyimpan hasil karya seni kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau dikenali sebagai ‘Datuk Lat’ pada sepanjang tempoh kariernya sejak dari tahun 1962.

Korang boleh tengok dengan lebih dekat hasil lukisan, barang-barang peribadi Datuk Lat dan trofi yang beliau pernah menangi. Selain itu, terdapat juga sebuah replika rumah kayu traditional Perak seperti di dalam cerita ‘Kampung Boy’. Fuh! Terus mengusikan nostalgia zaman kecil-kecil. Tada da da, ta da da da…

Perak ini boleh dikatakan syurga kepada pelancongan, dalam satu negeri sahaja pelbagai tempat boleh dilawati. Malah, ia bakal menambahkan ilmu pengetahuan baru kepada kita semua.

Jadi, ‘Ater, kome…’ semua marilah kita melawat Perak sempena tahun melawat Perak 2024.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *