‘Jejak Homestay 2026: Yok Dolan-Dolan’ – Inisiatif Tourism Malaysia Promosi Homestay di Johor

JOHOR BAHRU – Tourism Malaysia Wilayah Selatan dengan kerjasama Persatuan Homestay Johor, MOTAC Johor, Tourism Johor, pihak berkuasa tempatan dan swasta baru-baru ini menganjurkan program Jejak Homestay 2026: Yok Dolan-Dolan Siri 2 bagi memperkukuhkan promosi pelancongan domestik sempena Kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan Visit Johor 2026 (VJ2026).


Jejak Homestay 2026: Yok Dolan-Dolan Siri 2 ini meliputi beberapa homestay di daerah Kluang termasuk kawasan Simpang Renggam, Paloh, Ayer Hitam serta Mukim Kahang bermula 27 hingga 30 April 2026.



Program ini bertujuan mempromosikan keunikan budaya, adat, dan gaya hidup desa, membolehkan pelancong merasai kehidupan kampung secara langsung. la merangkumi aktiviti kebudayaan, pertanian, dan berasaskan komuniti.

Pelbagai pakej pelancongan berasaskan homestay akan dibangunkan oleh empat (4) agensi pelancongan yang terlibat, iaitu Khaimal Travel & Tours (Southern) Sdn. Bhd., Go Multi Travel & Tours Sdn. Bhd., CK Vacation Sdn. Bhd. dan Syoknya Travel Sdn. Bhd.
Pakej-pakej yang dibangunkan ini akan dipromosikan secara menyeluruh ke seluruh negara melalui pendekatan pemasaran bersepadu, merangkumi platform digital, rangkaian ejen pelancongan serta kolaborasi strategik bersama rakan industri bagi memastikan capaian yang lebih luas dan berimpak tinggi kepada pasaran domestik.



Program ini turut disokong oleh rakan kerjasama strategik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program termasuk PROTON e.MAS EV, Big Pharmacy, Tourism Johor, MOTAC Johor, Pejabat Daerah Kluang, Kluang Coffee, UK Farm, My Liberica, The Big Bean, Daily Fresh, Yeng Choon dan AW Pottery.



Rakan media dan platform digital seperti Suria FM, Bernama TV, Kaki Travel bersama barisan pempengaruh berimpak tinggi seperti The Fitri Jamil, Fuyohh TV, Jom Rayau, Azwan Amir dan Ahfad telah memperluaskan capaian promosi program ini bagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk meneroka keindahan serta keunikan desa, sekali gus merangsang peningkatan ketibaan pelancong domestik ke Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Melalui pelaksanaan program ini, Tourism Malaysia Wilayah Selatan menyasarkan peningkatan kehadiran pelancong domestik ke Johor seterusnya merancakkan ekonomi setempat serta memberi impak positif kepada pengusaha homestay dan komuniti.
Seiring usaha berterusan ini, Tourism Malaysia terus memperkasa profil pelancongan negara di peringkat global sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, selaras dengan objektif Visit Malaysia 2026 dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang sektor pelancongan negara.

