Pembuatan Songkok & Capal di Muar – tradisi warisan budaya Melayu

Setiap negeri, pasti mempunyai seni warisan budaya tersendiri. Begitu jua dengan negeri Johor Darul Takzim yang sehingga kini masih kekal menjaga warisan pemakaian songkok & capal khususnya dalam masyarakat Melayu. Rasanya tak lengkap kalau singgah ke Johor tanpa membawa pulang buah tangan kan? Oleh itu, kami nak kongsikan dua buah tempat pembuatan songkok & capal di Muar. Kedua tempat ini menghasilkan & menjual kraftangan yang berkualiti!

Butik Songkok Masood Hussin

Butik Songkok Masood Hussin ini terletak di Jalan Maharani. Ia merupakan sebuah perniagaan turun-temurun sejdak dari tahun 1945 lagi dan kini ia diusahakan oleh Puan Nur Dalila & Encik Zahedy yang merupakan generasi ketiga kepada perusahaan ini.

Di sini, anda bukan sahaja dapat membeli tetapi dapat melihat sendiri bagaimana proses pembuatan songkok ini. Penghasilan songkok yang kemas dan selesa membuatkan butik ini seringkali menjadi tumpuan orang ramai tidak kira rakyat biasa mahupun kerabat diraja.

Antara produk unik yang ditawarkan di sini adalah Songkok Lipat, dimana anda boleh melipat dan menyimpan songkok di dalam sarung, tidak perlu menggunakan kotak. Ini memudahkan pelanggan untuk menyimpan songkok tersebut kerana ia menjimatkan ruang.

Lihat sendiri proses pembuatan songkok
Songkok lipat

Boleh ‘order’ songkok rekaan sendiri!

Selain itu di Butik Songkok Masood Hussin ini, anda juga boleh menempah songkok rekaan sendiri ataupun ‘customade’. Anda boleh menentukan rekaan, warna dan fabrik mengikut lilitan kepala yang tepat dengan citarasa sendiri. Jadi tidak perlu lagi anda susah hati tercari-cari songkok idaman yang bersesuaian dengan ukuran lilitan kepala anda lagi lepas ini ya!

Bagi mengekalkan keselesaan si pemakai, pihak butik meletakkan fabrik lembut dalam songkok. Selain ditempah, pengguna juga boleh memilih songkok yang sudah disiapkan pada ukuran ketinggian bermula tiga hingga lima inci bagi ukuran standard yang kebanyakan disediakan pada warna hitam dan biru gelap.

Contoh songkok yang ditempah khas

Capal Arils – sepatu tradisi warisan melayu

Selain daripada songkok, satu lagi produk menarik di Muar ini adalah capal Arils, iaitu capal buatan tangan. Perusahaan Arils Leatherville Craft ini bermula sejak dari tahun 2006 dan di asaskan oleh Encik Mohamad Shahril A. Rahman.

Antara keistimewaan capal Arils ini adalah :

  • Ia diperbuat daripada kulit kambing ataupun kulit lembu asli
  • Rekaan capal yang dibuat adalah mengikut trend semasa
  • Selesa dan tidak menyebabkan kaki melecet

Mungkin ada segelintir daripada kita yang beranggapan capal sama sahaja seperti selipar biasa. Capal pada zaman dahulu hanya dipakai oleh golongan bangsawan. Namun kini, pemakaian capal masih kekal menjadi salah-satu tradisi yang sesuai untuk digayakan dengan busana tradisional masyarakat Melayu.

Lihat sendiri proses pembuatan capal!

Di Arils Leatherville Craft mereka bukan sahaja menjual capal, tetapi anda akan dapat melihat sendiri proses penghasilan capal ini. Selain itu anda juga boleh menempah capal mengikut citarasa anda. Jadi anda boleh tentukan reka bentuk, saiz, jenis material dan warna kesukaan anda dalam menghasilkan capal khas buat diri sendiri!

Pemilik Capal Arils – Encik Shahril

Alamat:

  • Butik Songkok Masood Hussin:
    No 24, Jalan Majidi, Taman Sri Tanjung,
    84000 Muar, Johor
    Tel : 016-7170884
  • Kedai Capal Aril:
    No 155 E,  KM 4 , Jalan Bakri,
    84000 Muar, Johor
    Tel : 017-842 8459

Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat…

Artikel ini adalah hasil kolaborasi bersama Kaki Travel dan Tourism Malaysia selaras dengan kempen Cuti Cuti Malaysia!


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *