Itinerari trip ke 7 negara Balkan selama 14 hari

Itinerari ke Balkan Selama 14 Hari , 7 Negara

Bosnia & Herzegovina – Croatia – Montenegro – Albania – Macedonia – Bulgaria – Hungary

Trip ke negara-negara Balkan bersama ibu bapa saya yang berumur 63 dan 67 tahun. Memandangkan saya bawa warga emas, itinerari ke Balkan yang saya bakal kongsi juga sangat “free & easy”. Santai-santai je. Kami bertiga pergi sendiri, dan bukan dengan mana-mana agensi pelancongan.


Penerbangan

Flight Kuala Lumpur-Sarajevo dan Budapest-Kuala Lumpur bersama Qatar Airways. Harga lebih kurang RM2700 pergi balik. Sekiranya anda dapat tiket di bawah RM3000, jangan lepaskan peluang tersebut!

Kuala Lumpur – Doha: 8 jam

Doha – Sarajevo: 6 jam

Day 1

Flight dari Kuala Lumpur, transit di Doha, Qatar. Lapangan terbang Doha sangat selesa, besar, nak solat pun mudah. Musolla dia selesa dan wangi. Tempat wuduk siap ada sabun untuk kita cuci kaki dan juga tisu.

Pastikan lepas berwuduk, lap kaki dengan tisu. Jangan basah-basah tu pergi pijak karpet musolla. Makan macam tak perlu sebab dah kenyang atas flight. Tapi kalau nak makan, sediakan duit je. Nak bawa bekal dari rumah boleh. Tapi pastikan lauk-lauk ringkas tak berkuah. Jangan bawa patin tempoyak pula sebab takut tak lepas di security sebab lauk ber “liquid”.

Airport Doha

Day 2

Sampai di Sarajevo, kami menginap di Airbnb. Banyak pilihan rumah dan ada dapur. Ibu bapa saya seorang yang cerewet bab halal haram jadi saya ikut je mereka. Lagipun kami nak makan nasi. Tak nak kebab dan sebagainya. Cumanya rumah kami ni tiada lif dan agak sukar bagi ibu bapa saya.

Tuan rumah telah arrange pengangkutan dari airport ke rumah. Dekat je lebih kurang 15-20 minit. Harga lebih kurang €10 satu trip.

Disebabkan ini adalah trip santai, hari pertama kami tidak kemana-mana dan berehat di rumah bersantai sambil makan-makan dan minum kopi.

Day 3

Itinerari dimulakan dengan pergi ke Baščaršija (cara nak sebut dia Basharsha). Senang cerita Old Town Sarajevo. Di situ kami lihat:

  1. Sarajevo Sebilj (Wooden Fountain). Salah satu mercu tanda terkenal di Sarajevo.
  2. Old Town Bazaar. Ada jual-jual souvenir. Beli kat sini terus. Ada café, boleh cuba makanan tradisional dia.
  3. Masjid Gazi Huzrev-beg. Masa tu Masjid Baščaršija tengah dibaikpulih jadi kami tak boleh masuk kerana ia ditutup.
  4. Miljacka Riverfront dan Latin Bridge- Jambatan pencetus Perang Dunia Pertama. Depan jambatan ni ada muzium.

Semua tempat yang dinyatakan ada sejarahnya. Nanti baca sendiri ya. Rugi pergi tempat orang tak baca sejarah. Sekiranya anda ada tenaga dan masa terluang, boleh lawat banyak lagi tempat di Sarajevo. Kebanyakan tempat di situ dekat-dekat je.

Cara hendak ke Baščaršija dan getting around Sarajevo? Boleh ambil tram. Beli sahaja tiket di hentian tram. Sangat mudah. Sekiranya hotel anda dekat dengan tempat tersebut, jalan kaki sahaja.

Pada hari yang sama juga, saya ke Stesen Kereta Api Sarajevo untuk membeli tiket ke Mostar untuk hari berikutnya. Pastikan anda beli tiket siap-siap pada hari sebelumnya. Saya jalan kaki dari rumah kira-kira 30 minit ke stesen.

Itinerari ke Balkan

Day 4

Kami keluar dari rumah pada awal pagi. Ambil train ke Mostar. Menurut apa yang saya baca, ada banyak cara untuk ke Mostar dari Sarajevo. Train adalah yang highly recommended. Dalam tiket memang ada nombor tempat duduk, tetapi penduduk tempatan kata tak perlu ikut. Duduk sahaja di tempat yang anda inginkan. Ada wifi dalam train. View dalam perjalanan ke Mostar memang cantik.

Tiba di Mostar, kami jalan kaki ke tempat-tempat wajib. Tanya sahaja arah daripada penduduk tempatan. Berjalan dalam setengah jam juga. Tapi tak terasa sangat sebab banyak kedai-kedai di tepi jalan tersebut. Ibu bapa saya pun jalan perlahan-lahan je. Tempat pertama kami pergi ialah The Old Bridge (Stari Most) dan kawasan Old City. Jalan dia berbatu-batu yang macam di Istanbul tu. Makan masa juga berjalan di kawasan tersebut.

Kebetulan hari tersebut ialah hari Jumaat, saya solat Jumaat di situ. Tempat wuduk dia tiada air panas ya jadi kena besedia dengan air sejuk untuk berwuduk. Lepas solat kami buang-buang masa di sekitar Old City tersebut, tangkap gambar, dan ambil train pulang ke Sarajevo.

Tips:

Kebiasaannya orang akan terus menginap di Mostar sebab dah tidak jauh sangat dari sempadan Croatia. Tapi kerana saya tak buat research terperinci, kami pulang juga ke Sarajevo pada hari tersebut. Kepada yang merancang itinerari, boleh menginap di Mostar, dan tidak perlu pulang ke Sarajevo.

Day 5

Check out awal pagi. Memulakan perjalanan dari Sarajevo ke Dubrovnik, Croatia. Ambil bas pagi jam 0715 dari Sarajevo. Perjalanan lebih kurang 6 jam. View sangat cantik. Bas akan lalu route yang sama untuk ke Mostar dahulu sebelum ke Croatia. View dia Subhanallah! Sungai dia warna hijau.

Tips:

Ambil seat di belah kanan kerana anda akan dapat view menghadap Laut Adriatic. Ia antara laut yang tercantik di dunia. Ada berhenti sekejap untuk makan tengah hari dan tandas. Kami makan bekal yang telah dimasak malam sebelumnya. Perjalanan juga melibatkan border crossing untuk cop passport.

Tiba di Dubrovnik, kami diambil oleh tuan rumah. Sama juga kami menginap di Airbnb. Tuan rumah sendiri yang offer untuk ambil kami secara percuma. Perlu diingatkan kos melancong di Croatia sangat-sangat mahal. Dalam banyak-banyak negara Balkan, Croatia paling mahal. Tuan rumah dah sediakan limau saki baki masa summer dan buah tin. Local produce. Dia sediakan arak juga. Masa tu kami macam krik-krik je. Yelah tuan rumah bukan Muslim so dia tak faham kut.

Day 6

Pergi ke Old Town Dubrovnik. Jalan-jalan di sekitar Old Town. Beli souvenir. Dubrovnik ialah lokasi penggambaran Game of Thrones. Anda boleh juga jalan-jalan di The Stradun yang terletak di Old Town tersebut. Cantik dan unik tempat dia.

Harga souvenir agak mahal di sini tapi itu sahaja pilihan yang ada kerana Croatia in general memang negara yang mahal. Beli tiket bas Dubrovnik – Tirana pada hari sebelumnya di stesen bas.

Balik dari Old Town kami lihat-lihat pemandangan Laut Adriatic dan pulang ke rumah untuk berehat.

Itinerari ke Balkan

Day 7

Check out awal pagi. Sekali lagi tuan rumah offer untuk hantar kami ke stesen bas. Kami ambil bas untuk ke Tirana, Albania. Tetapi sebelum itu, kami singgah di Kotor, Montenegro. Kami tidak bermalam di Kotor kerana kesuntukan masa. Terdapat beberapa tempat lagi yang anda boleh lawati sekiranya anda bercadang untuk bermalam atau nak stay dua hari di Montenegro. Kami tukar bas di Kotor untuk ke Tirana.

Kami tiba di Tirana, Albania pada waktu malam. Kira-kira jam 9 malam. Keadaan di stesen bas agak menakutkan kerana ramai “ulat” menghampiri kami menawarkan perkhidmatan teksi. Mujur sebelum itu, saya telah hubungi tuan rumah, dan tuan rumah kami di Tirana bersetuju untuk ambil kami di stesen bas dengan sedikit bayaran. Kami tinggal di Airbnb.

Disebabkan perjalanan sangat panjang, kira-kira 14 jam, bas telah berhenti beberapa kali untuk mengambil penumpang, tandas, makan, dan juga urusan border crossing. Kami solat jamak zohor dan asar di atas bas.

Check in di Airbnb, makan, rehat, santai, basuh baju, tidur.

Day 8

Kami mulakan aktiviti agak lewat, iaitu selepas zohor kerana kepenatan naik bas hari sebelumnya. Kami ambil bas sahaja untuk ke bandar. Tiket dibeli pada konduktor kalau tak silap. Di bandar Tirana, kami melawat:

  1. Piramid (yang tak macam piramid sangat)
  2. Skanderbeg Square
  3. Et’hem Bey Mosque (masa tu tengah renovate so tak boleh masuk)
  4. Clock Tower
  5. Toptani Street (beli souvenir)
  6. Bunk’Art (saya hantar ibu bapa saya ke sebuah café sementara saya masuk ke Bunk Art kerana tempat ni macam hipster-hipster sikit jadi mereka tak minat)

Sebelum balik, saya ke tempat untuk membeli tiket bas untuk perjalanan dari Tirana ke Skopje, Macedonia. Saya hantar ibu bapa saya ke rumah dan saya keluar semula jalan-jalan di kawasan Blloku.

So far saya rasa selamat di Albania walaupun Albania terkenal dengan mafia dan sebagainya, alhamdulillah, tiada kejadian tidak diingini berlaku. Tirana ni dahulunya sebuah negara komunis dan juga pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah jadi terlalu banyak sejarah. Apa yang jadi selepas negara Muslim diperintah oleh komunis? Baca sendiri ya sejarah dia.

Day 9

Check out awal pagi sebelum subuh kerana bas akan bertolak awal pagi. Kami tahan teksi untuk ke tempat menunggu bas. Perjalanan dari Tirana ke Skopje, Macedonia akan melalui Pristina, Kosovo. Kami tidak bermalam di Kosovo. Hanya tukar bas di Pristina. Ada border crossing jadi mereka akan cop passport. Kosovo ni negara yang baharu dan rata-rata mereka yang berada di Kosovo kini adalah golongan muda. Orang-orang tua dah lari dari situ akibat perang dahulu. Sebuah negara kecil yang menarik dan saya akan lawat Kosovo di trip yang akan datang inshaallah.

Kami tiba di Skopje sekitar jam 2.00 petang. Dari stesen bas, hanya jalan kaki ke rumah. Kami tinggal di Airbnb. Tuan rumah telah tunggu bagi urusan check in. kami unpack barang, masak, dan bersantai sahaja di rumah.

Lepas maghrib saya keluar ke shopping mall berdekatan untuk tukar duit, beli makanan dan sebagainya, dan pulang. Sepanjang trip ini, bila saya mention lepas maghrib, maksudnya saya keluar tu sekitar jam 5.00 petang ke 6.30 petang kerana masa musim sejuk maghrib masuk awal.

Itinerari ke Balkan

Day 10

Itinerari kami pada hari ini ialah:

  1. Macedonia Square (yang ada patung Alexander the Great tu)
  2. Macedonia Gate
  3. Stone Bridge
  4. Old Bazaar
  5. Mustafa Pasha Mosque

Kami jumpa sekumpulan orang Malaysia di sini. Banyak lagi yang anda boleh lawati di Skopje. Tapi untuk kami cukup itu sahaja. Sambil-sambil tu, kami pergi beli daging halal untuk dimasak, dan terjumpa sebuah pasar. Jalan-jalan di pasar tersebut yang saya sendiri tidak tahu apa namanya.

Setelah hantar ibu bapa pulang ke rumah, saya ke stesen bas untuk membeli tiket bas untuk perjalanan esok.

Day 11

Check out awal pagi. Ambil bas untuk ke Sofia, Bulgaria. Perjalanan yang panjang dan melibatkan border crossing dan security check yang agak ketat dan paling lama kerana Bulgaria termasuk dalam negara-negara EU. Habis barang dalam bagasi kami dikeluarkan. Daging mentah yang dibeli di Macedonia kalau ikutkan tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke Bulgaria. Tapi setelah berbincang dengan baik, daging kami tidak dirampas.

Hanya kami bertiga sahaja pelancong di dalam van tersebut. Yang lain semua orang Bulgaria. Hanya seorang sahaja boleh berbahasa Inggeris dan sangat membantu kami.

Tiba di stesen bas di Sofia, saya tukar duit, dan ambil teksi ke rumah. Kami menginap di Airbnb. Tiba di rumah, tuan rumah telah tunggu bagi urusan check in. Kami hanya berehat dan makan-makan selepas check in.

Day 12

Kami mulakan hari lebih kurang jam 10 pagi. Itinerari kami seperti berikut:

  1. St Alexander Nevsky Cathedral (jauh sikit dari centre dan kena ambil tram)
  2. Kawasan sekitar city centre (walking distance dari rumah) untuk beli souvenir
  3. Banya Bashi Mosque
  4. Pasar (kami tak tahu apa nama pasar tersebut kerana ia ditulis dalam Cyrillic)
  5. The Synagogue (ibu bapa saya tidak masuk dan lepak di café berdekatan)

Kami juga banyak melawat pasar-pasar di Sofia kerana kami sangat suka lihat sayur-sayuran dan hasil-hasil tanaman di luar negara.

Day 13

Check out awal pagi dan ambil penerbangan ke destinasi terakhir iaitu Budapest, Hungary. Buat pengetahuan semua, Budapest bukanlah negara Balkan, tetapi kami masukkan dalam itinerari kerana pilihan penerbangan yang murah dari Budapest untuk ke Kuala Lumpur.

Tiba di Budapest, kami check in, dan berehat. Jalan-jalan di sekitar city centre. Antara tempat yang kami lawati:

  1. Jalan-jalan di tepi Danube River sambil melihat Parliament Building.
  2. Széchenyi Chain Bridge
  3. Shoes on the Danube Bank
  4. Central Market Hall (beli souvenir dan cari pejabat pos)
  5. Heroes’ Square

Tempat-tempat di atas dekat-dekat je, kecuali Heroes’ Square. Kena ambil metro untuk ke situ. Bagi saya, Budapest ni memang highly recommended. Memang cantik tempat dia.

Saya cadangkan anda stay satu setengah hari ke dua hari di Budapest. Memang cantik tempat dia. Boleh tengok klip video Katy Perry berjudul Firework. Ia dirakam di Budapest.

Day 14

Check out dan flight ke Kuala Lumpur melalui Doha. Solat subuh di airport. Ada multipurpose prayer room. Ambil wuduk siap-siap dari rumah atau di tandas tapi jangan basahkan lantai.

Budapest – Doha: 5 jam 20 minit

Doha – Kuala Lumpur: 7 jam 35 minit.


Boleh baca artikel Tips Penting untuk anda yang nak ke Balkan – untuk dapatkan tips-tips yang berguna

Semoga itinerari ke Balkan ini dapat membantu korang merancang perjalanan ke negara-negara Balkan dengan lebih baik.

Artikel ini dikongsi oleh : Mohd Ekhsan Sallahudin

Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel bagi mendapatkan idea untuk planning percutian korang!

You may also like...

7 Responses

  1. jihan says:

    Salam
    Adakah kita perlu apply visa utk setiap negara Balkan

  2. Fauziah Othman says:

    buat private trip utk brape org… package termasuk flight tix dan tpt tinggal ke..

  3. Sam says:

    Tix flight beli macamne? Kalau KL – turkey(return) tapi awak dari negara lain untuk balik ke KL

  4. sue said says:

    boleh tau berapa total RM untuk keseluruhan perjalananan ni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *