7 fakta menarik mengenai Pulau Rawa, ‘hidden gem’ Malaysia!
7 Fakta Menarik Mengenai Pulau Rawa
Artikel oleh : Hawa Mayati
Kalian mungkin pernah dengar tentang Pulau Rawa. Tetapi sebenarnya, tidak ramai yang pernah sampai ke sana.
Di sini saya ingin kongsikan 7 fakta menarik mengenai Pulau Rawa, ’hidden gem’ Malaysia!
1. Pulau Rawa adalah sebuah pulau kecil yang terletak di negeri Johor, dalam kawasan Taman Marin Sultan Iskandar.
Akses ke pulau ini adalah melalui bot laju dari Jeti Mersing. Pulau Rawa kurang dikunjungi orang tempatan, namun terkenal di kalangan pelancong asing.
2. Rawa adalah nama sejenis burung, dan orang tempatan mengandaikan rupanya seperti burung merpati.
Kalau anda sedia maklum, nama beberapa pulau di Johor diambil sempena nama binatang, antaranya Pulau Harimau, Pulau Babi Besar dan lain-lain. Agaknya orang-orang dahulu suka memerhati dan menamakannya sebegitu agar mudah dikenali.
3. Pulau Rawa boleh dikategorikan sebagai ‘private island’, dimiliki oleh kerabat kesultanan Johor. Ia sangat dijaga rapi.
Feri awam dan bot nelayan tidak dibenarkan melalui kawasan berhampiran pulau ini. Pengunjung yang dibenarkan masuk hanyalah mereka yang telah membuat tempahan sahaja.
4. Terdapat hanya 2 resort di pulau ini, iaitu Rawa Island Resort (www.rawaislandresort.com) dan Alang’s Rawa (www.alangsrawa.com).
Keduanya mempunyai konsep penginapan yang berbeza. Rawa Island Resort lebih bersifat mesra keluarga, persekitarannya tenang dan mendamaikan. Manakala Alang’s Rawa sesuai untuk backpacker, suasananya relaks dan santai.
5. Harga pakej di Alang’s Rawa lebih murah berbanding Rawa Island Resort. Selain itu, harga pakej pada hari biasa pula lebih murah berbanding hujung minggu.
Pakej standard merangkumi penginapan 2 malam, pengangkutan bot pergi dan balik, serta makanan disediakan (sarapan, makan tengah hari dan makan malam). Makanannya sedap, memenuhi citarasa dan cukup mengenyangkan.
6. Alang’s Rawa berkonsepkan minimal dan basic. Bilik penginapan tanpa tv, wifi, hot shower dan aircond (hanya ada kipas).
Resort ini mempunyai polisi di mana kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dibenarkan pada hari Ahad – Jumaat, manakala hujung minggu (khususnya Sabtu malam Ahad) untuk dewasa sahaja. Ini kerana Alang’s Rawa menjadi pilihan pelancong asing untuk berparti hingga tengah malam dan keadaan menjadi agak bising.
Tips: Bawa earplug untuk tidur yang lebih nyenyak.
7. Pulau Rawa boleh diibaratkan sebagai Maldives Malaysia. Setelah berkunjung ke Maldives dan kemudian ke Rawa, saya tanpa ragu mengiyakan.
Kecantikan asli Pulau ini masih terpelihara. Pasir pantainya halus memutih, air lautnya jernih kebiruan. Maka, cuti-cuti Malaysia je lah! Hehe
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda!
Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel , FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSRCIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!