Baca tips ini dulu sebelum anda travel ke Perancis

Tips travel ke Perancis

Saya terpanggil untuk berkongsi sedikit sebanyak tips-tips untuk melancong ke negara Perancis.

Kos untuk melawat negara-negara Eropah Barat seperti Perancis, UK, dan lain-lain ni kita telah ketahui agak mahal. Maka, pengangkutan awam adalah cara terbaik untuk kita kemana-mana terutamanya di bandar-bandar besar di samping dapat menjimatkan kos.

Antara pengangkutan awam yang popular untuk digunakan di negara Perancis adalah metro, tram, dan bas. Rangkaian metro di Paris sebagai contoh, adalah satu rangkaian yang sangat cekap dan menyeluruh. Pendek kata, mudah untuk kita kemana-mana dengan menggunakan metro dan bas. Tetapi, kekangan bahasa mungkin akan menjadi masalah kepada sesetengah daripada mereka yang tidak bertutur dalam Bahasa Perancis.

Tambahan dengan reputasi kota Paris yang terkenal dengan kotor, berbau hancing, kurang selamat (menurut sesetengah pengembara), menambahkan lagi “kengerian’ untuk menggunakan pengangkutan-pengangkutan awam di sana. Berikut saya berikan sedikit gambaran dan mungkin tips-tips yang berguna untuk menggunakan pengangkutan awam di Paris. Tips ini juga boleh digunakan di bandar utama lain di Perancis seperti Lyon, atau Toulouse.

  1. Muat turun aplikasi untuk anda mencari arah yang anda rasa selesa dan mudah gunakan. Zaman sekarang ni internet sangat penting. Jadi saya anggap semua yang ingin ke Eropah akan membeli kad sim ketika di sana.
    .
  2. Sekiranya anda bercadang untuk berada di sesebuah tempat untuk tempoh dua atau tiga hari, mungkin anda boleh consider membeli “day pass”. Tiket Day Pass di Paris bernama Paris Visite. Anda boleh beli untuk satu, dua, tiga, lima hari dan sebagainya.
    .
  3. Pastikan tempat yang ingin dilawati terletak di zon berapa. Sebagai contoh, Disneyland dan La Valle Village terletak di luar Zon 3 di Paris. Jadi, anda perlu membeli tiket berasingan untuk ke tempat-tempat tersebut.
    .
  4. Day Pass (Tiket Paris Visite) mampu menjimatkan kos kerana anda bebas menggunakannya untuk metro dan bas/tram. Asalkan ia terletak di dalam zon yang dinyatakan dalam tiket tersebut.
    .
  5. Cara membeli tiket? Anda boleh beli di kaunter atau mesin jualan automatik. Sekiranya anda ingin beli di kaunter, mereka hanya menerima bayaran secara kad kredit. Sekiranya ingin menggunakan mesin, boleh gunakan wang syiling, dan kadang-kala wang kertas juga boleh digunakan tetapi tidak banyak mesin yang menerima wang kertas. Ini adalah masa untuk anda habiskan wang syiling kerana ia tidak diterima untuk ditukar di pengurup wang setelah anda pulang ke tanah air. Boleh ringankan dompet juga. Pastikan anda telah rancang tempat yang ingin dilawati. Jangan lupa tulis nama anda di belakang tiket tersebut.
    .
  6. Rata-rata tiket metro atau Day Pass di Perancis bersaiz kecil sebesar pemadam. Kebarangkalian untuk hilang dan tercicir sangat tinggi. Simpan betul-betul di tempat yang selamat.
    .
  7. Sebelum menggunakan metro, pastikan anda telah tahu stesen atau hentian mana yang anda ingin naik, atau turun. Rata-rata metro di Paris tiada pengumuman. Sekiranya ada pun, mungkin anda keliru kerana apa yang disebut kerana ia tidak sama dengan apa yang dieja. Bahasa Perancis memang begitu. Tulis panjang-panjang semua tu “bunga” sahaja. Sebagai contoh, stesen Châtelet-Les-Halles, akan disebut sebagai “Shat-ley Lezal le”.
    .
  8. Sebelum masuk pintu stesen, pastikan anda dah pegang tiket siap-siap. Jangan dah depan gate baru nak teraba-raba cari tiket yang kecil tu. Sekiranya anda berkumpulan, pastikan “ketua darjah” ingatkan anak buah untuk sediakan tiket tersebut sebelum masuk pintu stesen. Mengapa? Bila anda teraba-raba mencari tiket di dalam stesen, kadang kala kita tidak sedar kita telah menghalang laluan orang. Parisien ada sedikit attitude menyampah dengan pelancong. Sama macam anda menyampah tengok Bangla, Pakistan, Nepal, Myanmar, dan lain-lain yang terlalu ramai di Malaysia. Orang sana berjalan laju. Mereka tidak suka laluan mereka dihalang. Sama seperti di London. Tak percaya? Nanti tengok sendiri di sana. Keduanya, bila anda teraba-raba begitu, anda mungkin boleh menjadi sasaran penyeluk saku. Masa itu lah mereka mungkin mendekati anda, dan melakukan kerja-kerja mereka. Mereka sangat-sangat professional!
    .
  9. Masuk sahaja stesen, lihat papan tanda. Pastikan anda berada di platform yang betul.
    .
  10. Sekiranya anda berjalan secara berkumpulan, pastikan semua ahli maklum dengan Plan Taktikal. Sekiranya terpisah, atau salah seorang tersalah turun di stesen yang salah, pastikan mereka tahu apa yang ingin dilakukan. Sebagai contoh, kumpulan anda ingin pergi dari Stesen A ke Stesen C. Si Abu tersalah turun di Stesen B. Pastikan Si Abu ni tidak kemana-mana, dan terus naik metro seterusnya di platform yang sama di Stesen B untuk ke Stesen C. Kekerapan metro di Paris agak tinggi semasa waktu puncak. Kira-kira dua hingga empat minit. Kalau tertinggal, tunggu je metro lagi satu. Pastikan setiap ahli ada alamat hotel secara BERTULIS di dalam simpanan. Mana tahu kalau telefon anda kehabisan bateri, takut terkial-kial pula lidah nak menyebut nama hotel.
    .
  11. Di Perancis mereka mengamalkan kesaksamaan jantina. Tidak perlu offer tempat duduk anda kepada golongan wanita. Mereka mungkin akan rasa terhina. Warga tua pun begitu. Kalau nak offer tempat duduk pun, anda bangun sahaja daripada tempat duduk dan buat-buat macam hendak turun. Kesimpulannya, tak perlu nak acah-acah gentleman. Silap-silap anda pula akan dimarahi. Tapi kalau dah nampak tenat, atau wanita mengandung tu, anda tahu apa yang perlu dilakukan.
    .
  12. Pastikan anda duduk di tempat yang betul. Kalau ada sign untuk wanita mengandung, atau orang bertongkat, elakkan duduk di situ walaupun metro tu kosong. Kita tak tahu mungkin di stesen seterusnya tiba-tiba ramai pula yang naik dan metro jadi penuh. Tempat duduk di depan pintu metro akan terlipat secara sendirinya sekiranya anda tidak duduk di situ (macam kerusi wayang). Anda akan lihat mereka yang duduk di situ akan bangun dan berdiri ketika gerabak penuh. Jika anda duduk di situ, tiba-tiba gerabak penuh, sila bangun. Dan kerusi akan terlipat dengan sendirinya bagi memberi ruang untuk lebih ramai penumpang masuk.
    .
  13. Pintu metro perlu dibuka sendiri. Perhatikan cara Parisien buka pintu metro. Tapi kalau metro yang anda naiki adalah metro yang baharu, pintu akan terbuka secara automatik. Jangan tiru aksi Parisien kerana mereka akan buka pintu metro dan melompat dari metro ketika metro masih belum berhenti sepenuhnya. Anda sebagai warganegara Malaysia yang dikurniakan sifat sabar, tunggu sehingga metro berhenti sepenuhnya. Nanti terjatuh ke hilang kawalan ke tak ke malu.
    .
  14. Metro di Perancis tidaklah seperti di Tokyo di mana anda dianggap kurang sopan sekiranya anda tidak mod-senyapkan telefon bimbit. Masih boleh bersembang, tapi dengan suara yang perlahan. Makan? Elakkan. Orang Perancis akan makan on time. Mereka akan duduk dan makan. Tapi saya pernah je makan dalam tram. Ramai je yang menjeling tapi biarlah. Dah lapar, makan lah.
    .
  15. Kadang-kadang pemuzik jalanan akan masuk ke dalam metro. Lepas main muzik mereka akan minta derma. Kalau malas nak derma, elakkan eye contact dengan mereka. Mereka tak paksa.
    .
  16. Masuk sahaja gerabak, pastikan beg galas digalas di depan serta merta. Pertama, kita nak elakkan penyeluk saku. Kedua, kita nak elakkan beg kita terkena dan mengganggu penumpang lain tanpa disedari.
    .
  17. Sampai di stesen, cari pintu keluar. Cari sahaja perkataan Sortie. Ingat. Sortie. Kalau anda naik metro di Spain, cari perkataan Salida. Tak perlu scan tiket apabila keluar stesen kerana pintu keluar akan terbuka secara automatik.

Tips-tips lain

  1. Sekiranya sesat, anda boleh sahaja bertanya arah kepada penduduk tempatan. Tanya sahaja kepada yang berkenan di hati. Jangan mulakan dengan “Do you speak English?”. Kalau anda tanya begini, automatik jawapan mereka adalah “No!”. Tanya sahaja dalam Bahasa Melayu. Nanti mereka mesti terkial-kial nak berbahasa Inggeris dengan kita. Kalau mereka betul-betul tak pandai berbahasa Inggeris, mereka akan guna bahasa isyarat untuk tolong kita. Biasanya boleh je mereka berbahasa Inggeris cuma tak nak. Ini mengikut pengalaman saya semasa kali pertama ke Paris. Tapi sekarang dah boleh berbahasa Perancis jadi tiada masalah untuk saya ke sana.
    .
  2. Masuk café atau kedai, ucapkan salam dalam bahasa mereka. Sekurang-kurangnya ingat dua perkataan iaitu Bonjour (Good day/ Good morning), dan Merci (Terima kasih). Dua perkataan ni je. Tak susah pun. Tapi kalau dah tak boleh sangat, sekurang-kurangnya kita sebut la Hello.
    .
  3. Kalau nak beli souvenir, saya biasanya akan beli keychain Eifel Tower sahaja kerana ia murah. Dengan €1, anda mungkin boleh dapat sehingga 5 keychains kalau pandai tawar menawar. Tapi perlu beli daripada lelaki-lelaki berbangsa Afrika di sekitar Eifel Tower tu. Terpulang kepada anda hendak beli daripada mereka atau tidak. Ada yang lebih selesa beli di kedai yang betul. Ini kerana sentimen takut ditipu lelaki Afrika masih menebal dalam masyarakat kita. Tapi sepanjang pengalaman saya beli dengan mereka, ok sahaja. Siap dapat extra keychain lagi sekiranya anda borong. Tapi mereka ni akan lari apabila nampak polis. Dan ada yang boleh berbahasa Melayu lagi. Bahasa Melayu ya, bukan Bahasa Indonesia. Bahasa Melayu!
    .
  4. Bab makan, pastikan anda cari yang betul-betul halal. Kadang-kala kedai tu ada tanda halal, tapi sesetengah makanan sahaja. Ada jual makanan tidak halal di situ. Boleh rujuk laman-laman lain di Facebook untuk pencarian makanan halal. Tapi kalau di Paris, yang dekat-dekat dengan masjid tu biasanya halal. Apa pun sila semak dahulu.
    .
  5. Pastikan anda berhati-hati terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan pelancong. Eifel Tower, Montmarte, dan lain-lain. Anda boleh tengok scam apa yang popular di laman-laman media sosial.
    .
  6. Apa pun, enjoy your holiday. Jangan disebabkan pengalaman buruk orang lain, niat anda terbantut untuk ke sana. Sepanjang perjalanan saya ke Paris, alhamdulillah semua pengalaman yang manis-manis belaka. Hormat dan hargai budaya orang. Bangsa Perancis ni tidaklah seteruk yang dikatakan. Mana-mana pun ada orang jahat dan baik. Selamat mengembara!

Artikel ini dikongsi oleh : Mohd Ekhsan Sallahudin

You may also like...

3 Responses

  1. Jannah says:

    Terima kasih atas tips yang bermanfaat ini.

  2. mar says:

    kat sana ada grab or uber?

  3. afiffa says:

    terima kasih untuk infonya ini baru first time nak solo travel kalau boleh tau anggaran untuk bercuti ke Paris Rm berapa ya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *