AirAsia lancar promosi ‘Fix Fares’ sempena CNY – tiket ke Sarawak RM199!
Sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tak lama lagi, AirAsia memperkenalkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.
AirAsia menawarkan hampir 25,020 tempat duduk tambahan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak untuk tempahan bagi tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.
KL ke Sabah/Sarawak hanya RM199!
Menariknya, tawaran kali ini membolehkan orang ramai untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199 sehala manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249 sehala.
- RM199 – Terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri
- RM199 – Terbang dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri
- RM249 – Terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau
- RM88 – Terbang dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu
Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, syarikat penerbangan itu juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, tawaran itu diadakan bagi memastikan para penumpang dapat menikmati tambang berpatutan meskipun pihak mereka perlu berdepan pelbagai cabaran dalam beroperasi.
“Beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, kami tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan pandemik.
“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
“Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap.
“Inisiatif ini tidak mungkin dapat dilancarkan tanpa dedikasi Allstars kami yang akan terus bekerja keras pada musim perayaan ini, serta pihak kerajaan atas bantuan mereka mendapatkan kelulusan untuk penerbangan tambahan lewat malam, ” katanya.
Anda boleh mula membuat tempahan mulai hari ini (28 Disember 2022). Maklumat lanjut sila layari web AirAsia
**Promosi tambang tetap adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai dan yuran berkenaan dan hanya untuk penerbangan tambahan mengikut no penerbangan yang dinyatakan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.