KLIA perkenal inisiatif ‘Butterfly Effect’ untuk individu istimewa
KLIA BUTTERFLY EFFECT UNTUK INDIVIDU ISTIMEWA
Baru-baru ini, kami telah dijemput oleh Malaysia Airports Berhad untuk merasai sendiri inisiatif terkini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikenali sebagai “Butterfly Effect”. Diilhamkan dari metafora The Butterfly Effect atau Efek Rama-Rama, ianya menfokuskan terhadap perubahan-perubahan kecil yang dapat menghasilkan impak perjalanan yang bermakna kepada golongan sasar.
Golongan sasar yang dimaksudkan bagi inisiatif Butterfly Effect ini adalah individu-individu yang mempunyai keadaan khas seperti Autisme, Attention Deficit/ Hyperactivity Disorder (ADHD), Global Development Delay (GDD), Sensory Processing Disorder etc. Memahami kesukaran perjalanan bersama mereka yang teristimewa, KLIA telah menyediakan pelbagai kemudahan dari balai ketibaan sehinggalah pintu pelepasan.
Jom, kita lihat kemudahan yang disediakan di KLIA.
Sebaik saja tiba di balai pelepasan, keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai kesusahan tersembunyi boleh menurunkan penumpang di bahagian khusus special handling. Di sini, dapat dilihat logo rama-rama iaitu simbol khas bagi inisiatif Butterfly Effect.
Sejurus tiba, penumpang dan penjaga/ahli keluarga boleh ke Kaunter Pertanyaan di Tingkat 5, Terminal 1 KLIA bagi mendapat Kit Rama-Rama percuma yang mengandungi lanyard rama-rama yang berwarna kuning, maklumat berkenaan Calm Room dan lokasi dinding-dinding sentuhan. Penumpang dan penjaganya hendaklah sentiasa memakai lanyard rama-rama bagi memudahkan staf KLIA untuk membantu penumpang tersebut. Untuk makluman, staf KLIA telah dilatih oleh Autism Behavioral Centre (ABC) untuk mengendalikan penumpang istimewa.
Kami juga dibawa untuk melihat panel dinding-dinding sentuhan yang disediakan di aras yang sama yang dapat merangsang penumpang yang mempunyai keadaan istimewa untuk lebih tenang, dibantu dan fokus.
Di kesemua laluan pemeriksaan check-in, kastam dan imigresen, akses utama diberikan kepada penumpang dan penjaganya. Kalau anda terlihat individu yang memakai lanyard rama-rama, mereka bukan memotong barisan. Lanyard rama-rama bermakna merupa adalah penumpang yang berkeadaan khas yang tidak nampak di mata kasar. Beri laluan kepada mereka.
Kami kemudiannya dibawa melawat The Calm Room yang boleh digunakan oleh penumpang dan penjaganya. Sebaik sahaja melangkah masa, bau penyegar lemon membangkitkan rasa tenang. Terdapat sofa, permainan interaktif deria dan dinding-dinding sentuhan yang dihiasi dalam bilik ini. Asing dari hiruk pikuk di KLIA, The Calm Room dapat memberikan suasana tenang kepada penumpang istimewa.
Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang tergolong dalam golongan sasar The Butterfly Effect dan ingin menggunakan kemudahan The Butterfly Effect, sila daftar 3 hari sebelum tarikh penerbangan di sini. Jangan lupa bawa Kad OKU atau surat daripada mana-mana hospital atau klinik mengesahkan keadaan istimewa tersebut.
Artikel oleh : Farah Nadiah
Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel, FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSCRIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!