ETS, KTM Komuter & Yeo’s Yeogurt Bawa Anak Yatim Beli Persiapan Raya

Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni golongan yang memerlukan. Melalui Program Kembara Kasih, KTMB meraikan 20 orang anak yatim dan penjaga dari Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa dengan membawa mereka membeli persiapan Hari Raya sambil merasai pengalaman menaiki dua perkhidmatan utama KTMB, ETS dan KTM komuter.

Lebih istimewa, perjalanan ini bukan sekadar membawa mereka membeli-belah, tetapi juga memberi mereka pengalaman berharga menaiki tren KTM Komuter dari KL Sentral ke Seremban sebelum kembali ke ibu kota menggunakan tren ETS. Selain itu, 20 orang anak-anak ini turut menerima Pas MyRailLife percuma, yang membolehkan mereka menaiki perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang, Komuter Utara dan Shuttle Timuran di Pantai Timur secara percuma sehingga 31 Disember 2025. Pas ini merupakan subsidi Kerajaan bagi mengurangkan beban kos pengangkutan kepada masyarakat.

“Bertepatan dengan tema Ramadan KTMB tahun ini, ’Perjalanan Ramadan’, kami ingin memastikan perjalanan ini bukan sahaja bermakna dari segi pengalaman, tetapi juga membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim dalam menyambut Aidilfitri,” kata Mohd Zain Mat Taha, Ketua Pegawai Operasi KTMB, yang turut hadir dalam program ini.

Beliau juga berkesempatan menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim di majlis berbuka puasa khas di KL Sentral. Program ini turut mendapat sokongan rakan strategik, dengan Pasaraya Mydin, yang menyumbangkan kelengkapan Hari Raya. Rezza Brand, yang menyajikan juadah berbuka puasa kepada para tetamu.

Manakala Yeo’s Yeogurt sebagai rakan kerjasama utama menyokong penuh inisiatif KTMB ini. Yeo’s Yeogurt berharap program ini memberi suasana berlainan kepada anak-anak rumah Titian Kaseh, ”Bersesuaian dengan Yeo’s Yeogurt yang turut menyasarkan golongan kanak-kanak, kami inginkan mereka melalui pengalaman Ramadan yang ceria dan mereka lebih seronok dan aktif,” Ujar Noor Nabila Abd Rahman selaku Pengurus Jenama Yeo’s Yeogurt.

KTMB bukan sahaja memperkukuhkan peranannya dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selesa dan selamat, tetapi juga terus komited dalam usaha menyantuni masyarakat bersama – sama rakan strategik lain.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *