9 Tempat Menarik di Tawau, Sabah – Wajib Masuk Dalam Itinerari! Ada Nature, Pulau & Aktiviti Menarik!

Kalau sebut tentang Sabah, ramai yang terus terbayangkan Kota Kinabalu, Kundasang atau Semporna. Tapi tahukah anda, Tawau juga sebenarnya mempunyai banyak tempat menarik yang cukup unik untuk diterokai?

Tawau menawarkan pelbagai tarikan yang sesuai untuk pencinta alam semula jadi, penggemar aktiviti outdoor dan mereka yang suka meneroka pengalaman baharu. Dari aktiviti melihat gajah, menyusuri hutan paya bakau, mandi sungai, menikmati keindahan air terjun sehinggalah mencuba makanan tempatan, semuanya boleh dimasukkan dalam percutian di sini!

Bagi kalian yang sedang merancang percutian ke Tawau, ini kami senaraikan 9 Tempat Menarik di Tawau, Sabah yang boleh sesuai dimasukkan dalam itinerari..

1. B’Nature Brumas – Pengalaman Melihat Gajah di Habitat Semula Jadi

Nak tengok gajah Borneo dari dekat ketika bercuti di Tawau? Jom singgah ke B’Nature Brumas!

Antara tarikan utama di sini ialah aktiviti elephant sighting yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat gajah Borneo di kawasan habitat semula jadi. Pengalaman sebegini tentunya cukup istimewa, terutamanya buat nature lover!

Menariknya, B’Nature Brumas ini turut menyediakan kemudahan penginapan dan kolam renang. Jadi, kalau nak menikmati suasana alam dengan lebih santai, boleh bermalam kat sini.. kalau nak buat daytrip pun boleh ya..

Untuk Tempahan: +60138692151 – Ramlah // +601128543615 – Norhaliza
Link: Jenis Penginapan B’Nature

2. Tawau Hills Park – Terokai Keindahan Air Terjun Bukit Gelas

Jika anda gemarkan aktiviti trekking.. boleh singgah ke Taman Bukit Tawau.

Salah satu tarikan popular di sini ialah Air Terjun Bukit Gelas. Untuk sampai ke air terjun ini, pengunjung perlu trekking lebih kurang 1 jam 30 minit (ikut pace masing-masing). Walaupun memerlukan sedikit tenaga, perjalanan meredah kehijauan hutan pastinya memberikan pengalaman yang berbaloi buat pencinta alam.

Tapi kalau anda tak berminat untuk trekking jauh, jangan risau. Kawasan sungai di bahagian hadapan taman ini juga sesuai untuk aktiviti santai seperti mandi sungai dan berkelah bersama keluarga atau kawan-kawan.

Tiket Masuk: RM6/ 1pax
*Peringatan: Tidak dibenarkan trekking ke Air Terjun Bukit Gelas selepas jam 1 petang

3. Pulau Sebatik – Day Trip di Bergosong Eco Mangrove Dreamland

Kalau nak cuba pengalaman yang sedikit berbeza, masukkan Pulau Sebatik dalam senarai percutian anda! Menariknya, terdapat 2 negara iaitu Malaysia dan Indonesia dalam 1 pulau ini. Salah satu tarikan yang boleh anda kunjungi di Pulau Sebatik (bahagian Malaysia) ialah Bergosong Eco Mangrove Dreamland. Lokasi ini sesuai untuk aktiviti day trip kerana terdapat pelbagai pengalaman menarik yang boleh dilakukan dalam satu kunjungan.

Ini senarai aktiviti yang termasuk dalam pakej Daytrip Bergosong Eco Mangrove Dreamland:

  • Melihat ikan lumba-lumba Irrawaddy – Berpeluang melihat spesies ikan lumba-lumba unik yang menghuni perairan sekitar.
  • Menyusuri hutan paya bakau – Naik bot dan menikmati keindahan kawasan paya bakau yang menghijau.
  • Tangkap ketam cara tradisional – Cuba sendiri pengalaman menangkap ketam menggunakan kaedah tradisional.
  • Melawat ladang kelapa – Anda akan dibawa menaiki trem traktor berkunjung ke ladang kelapa.. dekat sana anda boleh pelajari teknik petik buah kelapa dan minum air kelapa fresh dari pokok! Anda juga akan dibawa ke ‘Rumah Atap’ yang merupakan salah-satu warisan menarik yang dipelihara..
  • Melihat lembu Bali – Berpeluang melihat haiwan ternakan yang menjadi sebahagian daripada suasana kampung di sini.. Lembu Bali ni menarik sebab kaki-kakinya semua berwarna putih seolah-olah pakai stokin!
  • Bergambar di sempadan dua negara – Jangan lepaskan peluang untuk bergambar di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia!

Untuk Tempahan Daytrip Bergosong Eco Mangrove Dreamland: +6013-8578178

4. Teck Guan Cocoa Village & Teck Guan Cocoa Waterfall – Pengalaman Coklat dan Air Terjun

Siapa peminat coklat? Kalau anda salah seorang daripadanya, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Teck Guan Cocoa Village.

Dekat sini, anda berpeluang mempelajari secara lebih dekat proses penghasilan koko dan mencuba aktiviti DIY membuat coklat sendiri. Memang menarik, terutamanya untuk keluarga yang bercuti bersama anak-anak.

Selain aktiviti berkaitan coklat, kawasan ini turut mempunyai kafe dengan sajian berasaskan koko.. wajib cuba coklat ais & aiskrim coklat kat kafe ni tau! Oh ya, ada banyak spot menarik untuk bergambar. Jadi, kalau anda suka mengumpul gambar kenangan sepanjang travel, bolehlah luangkan sedikit masa untuk terokai kawasan sekitar.

Selain itu, anda juga boleh lawati Teck Guan Cocoa Culture Spring yang menawarkan suasana kafe berhadapan dengan Majesty Waterfall.. kalau nak mandi dekat waterfall ini pun boleh tau!

  • Harga Tiket Masuk:
    • Cocoa Village: Dewasa (MyKad) – RM10 // Kanak-kanak (MyKid) – RM5
    • Culture Spring (waterfall express): Dewasa (MyKad) – RM10 // Kanak-kanak (MyKid) – RM5
    • Culture Spring (drive-in access parking): Dewasa (MyKad) – RM15 // Kanak-kanak (MyKid) – RM10
  • Harga DIY Coklat: Dewasa (MyKad) – RM45 // Kanak-kanak (MyKid) – RM40
  • Waktu Operasi: 10 pagi – 5 petang // Buka Setiap Hari

5. Batu Bersusun Balung Cocos – Formasi Batu Semula Unik

Satu lagi hidden gems di Tawau yang masih tak ramai pengunjung luar jejak ialah dekat sini, Batu Bersusun Balung Cocos atau turut dikenali sebagai Columnar Basalt.

Seperti namanya, tarikan utama di sini ialah formasi batu-batuan yang kelihatan tersusun secara semula jadi di kawasan sungai Balung. Pemandangan batu-batu unik yang dikelilingi aliran sungai ini menjadikan lokasi ini cukup menarik untuk diterokai.

Selain menikmati keunikan formasi batu, anda juga boleh bersantai di kawasan sungai dan mandi-manda sambil menikmati suasana persekitaran yang tenang di sekitar Sungai Balung ini..cumanya tak disarankan mandi di kawasan batu bersusun itu ya sebab air terlalu deras.

6. The Peaks – Port Tengok Sunset

Tak lengkap aktiviti seharian rasanya kalau tak tengok sunset di bumi Sabah! Buat anda yang mahukan view sunset dengan pemandangan epik.. boleh singgah ke The Peaks yang betul-betul terletak atas bukit.

Dekat The Peaks ini ada juga kafe yang menawarkan suasana santai sesuai untuk anda yang mahu berehat sambil menikmati pemandangan dari kawasan tinggi.

Waktu petang merupakan antara waktu yang menarik untuk berkunjung, terutamanya jika anda ingin menikmati suasana langit yang bertukar warna ketika matahari mula terbenam. Memang sesuai dijadikan port lepak petang sambil menikmati suasana Tawau dari sudut yang berbeza.

  • Harga Tiket: Dewasa – RM10 // Kanak-kanak – RM5 // Umur Bawah 2 Tahun – Percuma
  • Waktu Operasi: 12 tengahari – 8 malam // Buka Setiap Hari

7. Pasar Malam Chester – Syurga Makanan Tempatan

Nak merasai suasana kehidupan malam di Tawau? Jangan lupa singgah ke Pasar Malam Chester!

Pasar malam ini terkenal sebagai antara pasar malam terpanjang di Sabah. Menariknya, terdapat pelbagai jenis makanan tempatan yang boleh dicuba di sini. Dari makanan ringan, kudapan sehinggalah aneka juadah tempatan, memang banyak pilihan untuk anda terokai. Selain makanan, terdapat juga gerai yang menjual pakaian dan barangan lain.

Suasana di sini meriah pada hujung minggu dengan kehadiran pengunjung yang datang untuk membeli makanan, membeli-belah dan bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan. Kalau nak merasai suasana Tawau seperti orang lokal, Pasar Malam Chester memang antara lokasi yang wajib dikunjungi!

Waktu Operasi: 6 petang – 12 tengah malam // Buka Jumaat & Sabtu Sahaja

8. Keropok Amplang Bikmie – Lihat Proses Pembuatan Amplang

Balik bercuti tanpa membeli ole-ole memang tak lengkap rasanya.. jadi, sebelum meninggalkan Tawau, apa kata singgah ke Keropok Amplang Bikmie.

Amplang merupakan antara makanan ringan yang cukup sinonim dengan Sabah. Di sini, anda berpeluang melihat sendiri proses pembuatan keropok amplang secara langsung. Dah tengok proses pembuatan ini depan mata.. tentunya anda lebih yakin dan tertarik untuk membeli beberapa bungkus amplang sebagai buah tangan untuk keluarga dan kawan-kawan di rumah. Memang sesuai dijadikan ole-ole selepas bercuti di Tawau!

9. Pasar Tanjung Tawau – Beli Barangan Lokal

Satu lagi tempat yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat Tawau ialah di Pasar Tanjung Tawau. Dekat sini anda boleh membeli pelbagai produk tempatan seperti belinjo gula merah, kuih cincin, ikan bili mata biru, sotong kering dan macam-macam lagilah!

Bukan sekadar tempat membeli-belah, Pasar Tanjung juga menawarkan pengalaman buat anda rasai sendiri keunikan kehidupan tempatan di Tawau..

Terima kasih pada Sabah Tourism sebab terbangkan team Kaki Travel ke Tawau yang penuh dengan keseronokan alam semula jadi!


You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *