5 Tempat Menarik dan Unik untuk dilawati di Hanoi, Vietnam
Hanoi merupakan bandaraya yang terletak di utara Vietnam . Walaupun Hanoi merupakan bandar kedua terbesar di Vietnam selepas Ho Chi Minh city, ia merupakan ibu negara kepada negara tersebut. Kami berpeluang untuk berkunjung ke Hanoi baru-baru ini untuk meneroka tempat-tempat menarik disana. Terdapat 5 tempat unik dan menarik di dalam kawasan bandar Hanoi yang boleh anda pergi sekiranya anda datang ke sini.
1. Hanoi Train Street
Hanoi Train Street ini adalah salah satu tempat menarik yang wajib anda kunjungi sekiranya tiba di Hanoi. Terletak di sebahagian daripada Hanoi Old Quarters, tempat ini unik kerana ianya sebuah landasan kerata api yang terletak di tengah-tengah bangunan kejiranan. Di sesetengah tempat, jarak antara kereta api dan bangunan hanyalah beberapa inci sahaja daripada bersentuhan.
Terdapat deretan kedai kopi dan minuman lain di sepanjang landasan kereta api ini. Sebelum ini kawasan Train Street ini telah ditutup kepada orang ramai atas sebab keselamatan kerana terlalu ramai pelancong yang datang ke sini untuk bergambar. Namun bermula Januari 2023, kawasan ini dibuka sepenuhnya semula namun ianya terhad kepada pengunjung yang ingin ke deretan kedai-kedai kopi yang berada disitu.
Akan ada penjaga yang berpakaian seperti ‘polis’ dipintu masuk Train Street Hanoi ini serta akan ada beberapa orang pekerja kedai kopi yang turut menunggu disitu. Anda hanya akan dibenarkan masuk jika pekerja kedai kopi disitu membawa anda masuk dan duduk minum di kedainya. Mungkin ini cara mereka untuk menghadkan jumlah pengunjung dalam satu-satu masa. Cumanya anda tidak boleh memilih kedai mana yang anda suka, bergantung kepada pekerja kedai mana yang membawa anda masuk tu.
Kami pun tak pasti jadual untuk keretapi ini sebenarnya. Hasil carian daripada google daripada kebanyakkan website menyatakan seperti berikut :
ISNIN HINGGA JUMAAT – 7.00pm | 7.45pm | 8.30pm | 10,00pm
SABTU & AHAD – 6.00am | 9.00am | 11.20am | 3.20pm | 5.30pm | 6.00pm | 7.00pm | 7.45pm | 8.30pm | 9.00pm | 11.00pm
Namun kami ke sana pada hari Sabtu, tren jam 7.00pm & 7.45pm tidak kelihatan. Hanya tren jam 8.30pm yang melalui kawasan tersebut. Agak lama kami menunggu sambil menikmati beberapa cawan kopi dan melihat ragam pengunjung yang mengambil gambar kenangan di landasan kereta api tersebut. Jadi tipsnya, dipintu masuk tersebut, tanya dulu dengan pekerja kedai yang ada jam berapa tren akan sampai. Kalau agak lambat lagi, boleh berjalan ke kawasan lain dulu.
Apa pun kawasan ini sangat cantik di waktu malam kerana lampu-lampu pelbagai reka bentuk dan warna dipasang di setiap kedai dan seterusnya mewujudkan suasana yang meriah dan menarik bagi pengunjung yang berada di situ.
Alamat: Di Antara Jalan Le Duan Dan Jalan Kham Tien Di Hanoi Old Quarter.
Bayaran: Percuma , tapi anda perlu duduk & minum di salah sebuah cafe disana
2. Tran Quoc Pagoda
Kalau anda suka tengok bangunan senibina lama, anda wajib melawat tempat menarik ini. Terletak di West Lake, Hanoi, Chùa Trấn Quốc adalah sebuah pagoda atau tokong Buddha yang tertua di daerah ini. Untuk pengetahuan anda, pagoda ini telah dibina pada abad ke-6 ketika zaman pemerintahan Lý Nam Đế (544 – 548), menjadikan pagoda ini telah berusia lebih daripada 1450 tahun!
Jika dilihat dengan dekat, dapat diamati ukiran motif bunga lotus pada dindingnya. Keindahan seni binanya disempurnakan lagi dengan latar belakang tasik. Waktu yang terbaik untuk ke sini adalah ketika matahari terbenam.
Alamat: Thanh Niên, Yên Phụ, Tây Hồ, Hà Nội, Vietnam
Waktu Operasi: 7.30 am – 11.30 am| 1.30pm – 6.30pm
Bayaran Masuk: Percuma
3. Hanoi Old Quarter
Hanoi Old Quarter adalah salah satu tempat menarik yang wajib anda pergi sekiranya sampai di Hanoi. Sebuah lokasi yang agak padat dengan orang ramai kerana bukan sahaja penuh dengan penduduk setempat, tetapi juga para pelancong. Sambil melihat kerenah orang ramai dan aktiviti yang ada, anda juga boleh mencuci mata melihat keunikan reka bentuk bangunan di kawasan sekitar. Waktu inilah anda patut mengeluarkan kamera untuk mengabadikan pelbagai keunikan yang dilihat di Hanoi.
Terdapat banyak kedai cenderahati yang boleh dicari oleh anda sekiranya berada di Hanoi Old Quarters ini, begitu juga kedai makan halal dan juga kedai yang menyajikan minuman kopi Vietnam yang sedap. Jangan lepaskan peluang ke tempat menarik ini dengan menjelajahi setiap pelusuk Hanoi Old Quarters sekiranya anda tiba di Hanoi ya!
Alamat: Hanoi Old Quarter
Bayaran: Percuma
4. Thang Long Water Puppet Theater
Hiburan tradisional kebanggaan Vietnam adalah sesungguhnya Water Puppet ataupun boneka air. Kalau di Malaysia kita berbangga dengan tayangan wayang kulit di Pantai Timur Malaysia, di Vietnam ada water puppet ini. Sekiranya anda ke Hanoi, lokasi terbaik untuk anda menikmati persembahan ini adalah di Thang Long Water Puppet Theater.
Teater ini mempersembahkan lebih daripada 500 pertunjukan setiap tahun. Persembahan boneka air ini berinspirasikan daripada kisah-kisah tempatan berkaitan kehidupan petani, nelayan dan buruh dalam menjalankan aktiviti seharian mereka. Ianya juga menyelitkan elemen lucu dalam penceritaan yang disampaikan. Persembahan boneka air ini dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Vietnam namun ada perkhidmatan terjemahan disediakan melalui kemudahan headphone dengan kos tambahan.
Apa yang menarik dan menghiburkan, pertunjukan ini turut dilengkapi dengan penggunaan teknologi moden seperti live muzik dan pencahayaan untuk menjadikan persembahan jauh lebih dramatik dan mengujakan.
Alamat: 57B Đinh Tiên Hoàng, Hàng Bạc, Hoàn Kiếm, Hà Nội 100000, Vietnam
Waktu Operasi: Setiap Hari (3.00 pm, 4.10 pm, 5.20 pm, 6.30 pm, 8.00 pm)
Bayaran Masuk: VND 60,000 – 100,000 (Tiket mahal seharusnya di tempat duduk hadapan)
5. Ho Chi Minh Mausoleum
Sebuah makam bagi mendiang Ho Chi Minh (bekas Presiden Agung Vietnam) yang terletak di tengah-tengah Dataran Ba DInh. Sebagai sebuah tempat menarik di Hanoi yang patut dilawati, Ia diilhamkan oleh Makam Lenin di Moscow tetapi menggabungkan elemen seni bina Vietnam yang berbeza, seperti bumbung yang landai. Bahagian luar diperbuat daripada granit kelabu, manakala bahagian dalam adalah batu berkilat kelabu, hitam dan merah.
Apa yang unik ada dalam bangunan makam ini? Ada mayat Presiden Ho Chi Minh yang diawet dan disimpan di dalam dewan tengah makam dan dipantau oleh 4 orang pengawal kehormat tentera. Mayat beliau disimpan di dalam bekas kaca dengan lampu malap dan boleh dilihat dengan jelas bagi pengunjung yang masuk ke dalam makam. Makam ini secara amnya terbuka kepada orang ramai. Tiada gambar yang boleh dikongsi di sini namun ianya sudah pasti pengalaman yang tidak dapat anda perolehi di tempat lain.
Bagaimana hendak pergi ke makam ini? Anda kena ada tahap kesabaran yang tinggi kerana perlu beratur panjang untuk masuk ke dalam makam ini. Anda tidak boleh bawa kamera masuk mahupun ambil gambar dengan telefon juga tidak dibenarkan di dalam dan luar makam bagi menghormati mendiang. Semua rakyat Vietnam sejak dari kecil lagi telah diceritakan betapa besar pengorbanan Ho Chi Minh ini pada negara dan berlumba-lumba rakyat untuk memberi penghormatan mereka dengan melawat makam tersebut dan hampir setiap hari pengunjungnya penuh.
Dibelakang kawasan makam ini pula merupakan kawasan Presidential Area dimana terdapat taman serta bangunan-bangunan seperti istana presiden yang dibina oleh penjajah Perancis dahulu, bangunan pejabat, garaj kenderaan, rumah kayu yang menjadi tempat tinggal Ho Chi Minh serta One Pillar Pagoda.
One Pillar Pagoda Bangunan Pejabat Garaj Kenderaan
Alamat: 2 Hùng Vương, Điện Bàn, Ba Đình, Hà Nội 100000, Vietnam
Waktu Operasi: Selasa – Khamis (7.30 am – 10.30 am) | Sabtu & Ahad (7.30 am – 11.00 am)
Bayaran Masuk: Percuma
Macam Mana Nak Ke Hanoi ?
Vietnam Airlines kini mempunyai penerbangan terus daripada Kuala Lumpur ke Hanoi bermula 26 Mac 2023. Penerbangan ke sana mengambil masa lebih kurang 3 jam. Vietnam Airlines merupakan penerbangan ‘Full Service Airline’ dimana anda akan mendapat ruang kaki yang selesa serta tiket anda sudah termasuk bagasi dan juga makanan. Semua makanan yang dihidangkan bagi penerbangan dari/ke Kuala Lumpur adalah halal. Layari laman Web Vietnam Airlines untuk maklumat lanjut serta promosi terkini.