Kabinet Arab Saudi luluskan E-Visa Pelancongan
Kabinet kerajaan Arab Saudi baru-baru ini telah meluluskan usul untuk membenarkan visa pelancongan kepada warga asing. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Arab Saudi untuk mempelbagaikan sumber ekonomi mereka.
Permohonan visa ini dikatakan akan dikendalikan secara online dan ada beberapa syarat yang harus dipatuhi oleh pemohon. Laporan Arab News menyebut wakil Kementrian Luar Arab Saudi, Khalid Al-Khatani berkata “Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan negara ini menjadi pusat pelancongan global yang menarik bagi pelancong luar, kerajaan telah menerima pakai teknologi baru yang akan membolehkan kedutaan dan konsulat mengeluarkan visa elektronik dalam masa 24 jam setelah menerima permohonan”
Sehingga kini, masih tidak diketahui bila permohonan untuk visa ini akan dibuka. Namun begitu, terdapat juga laporan yang menyatakan visa ini hanya dibenarkan untuk mereka yang ingin menghadiri acara sukan, pertandingan atau konsert yang diadakan di negara tersebut.
Pada December 2018 yang lalu, Arab Saudi buat pertama kalinya telah mengeluarkan visa pelancongan kepada pelancong luar yang ingin menyaksikan perlumbaan Formula-E di Riyadh. Perlumbaan tersebut telah berjaya menarik lebih 9000 orang pelancong luar untuk ke acara tersebut.
Langkah ini adalah antara pembaharuan yang dibawa oleh Putera Mohamad Bin Salman bagi meningkatkan lagi jumlah perbelanjaan pelancong di negara tersebut kepada $46.6 billion menjelang tahun 2020.
Senarai penuh negara-negara yang layak memohon visa ini masih belum lagi diputuskan. Namun begitu, laman web saudiarabiavisa.com melaporkan rakyat Malaysia merupakan salah satu negara yang dibenarkan memohon visa tersebut. Negara-negara lain yang dibenarkan adalah Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Brunei, Singapore, Kesatuan Eropah, Jepun, Afrika Selatan dan Taiwan.
Sebelum ini tiada visa pelancongan yang diberikan kepada pelancong luar. Rakyat Malaysia hanya dapat melawat Arab Saudi menggunakan visa Umrah/Haji ataupun visa ziarah kepada kumpulan tertentu. Sama-sama kita tunggu pengumuman selanjutnya daripada Kerajaan Arab Saudi.
Sumber : Gulf News , Arab News, SaudiArabiavisa.com