Kebenaran mengerjakan umrah ditangguh sementara bermula 8 Januari 2022

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan penangguhan sementara kebenaran untuk mengerjakan Umrah bagi rakyat Malaysia bermula 8hb Januari 2022. Hal ini diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan media.

Menurutnya dalam tempoh 14 hari yang lepas, kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (13 kes), Indonesia (8 kes), United Kingdom (49 kes). Sehingga 30 Disember 2021, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif COVID-19. Daripada jumlah tersebut, 592 kes dikesan positif menerusi ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia manakala 714 kes dikesan positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Pada 31 Disember 2021, 2 lagi kes COVID-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan varian tersebut kepada 64 kes setakat ini. Daripada 64 kes tersebut, 32 kes atau 50 peratus dikesan dikalangan jemaah umrah. Perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah daripada pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan para jemaah ini kepada risiko mendapat jangkitan COVID-19 termasuk daripada varian Omicron.

Jelasnya lagi, kebanyakkan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah sepanjang tempoh 7 hari kuarantin. Namun apabila berlaku tidak kepatuhan kepada SOP yang ditetapkan, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Melihat kepada situasi tersebut, pihak KKM telah berbincang bersama agensi yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah seperti Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Kementerian Pengangkutan (MOT), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Imigresen Malaysa (JIM) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH). Ia juga disusuli dengan Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan seterusnya mendapat kelulusan YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan cadangan berikut :

  • Menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8hb Januari 2022 sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak
  • Tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuatkuasa 1hb Januari 2022
  • Kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenalpasti sebagai stesen kuarantin bermula 3 Januari 2022
  • Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan. Namun, perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin ataupun hotel yang telah di tetapkan

Penanguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan varian Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19. Seterusnya jemaah yang akan pulang ke Malaysia, mereka perlu mematuhi perkara-perkara berikut :

  • Melakukan ujian COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum tarikh berlepas pulang
  • Melakukan ujian RT-PCR pada hari ketibaan
  • Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selamat 7 hari di stesen kuarantin
  • Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag
  • Melakukan ujian RT-PCR pada hari ke-5
  • Jemaah umrah hanya akan diberi pelepasan daripada perintah pengawasan dan pemantauan pada hari ke-8, sekiranya tiada pelanjutan kuarantin dan keputusan RT-PCR pada hari ke-5 adalah negatif

KKM juga menasihatkan semua jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah supaya mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan. Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi membantu membendung gejala COVID-19.

Sumber : KKM

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *