MyAirline gantung operasi bermula 12hb Oktober 2023
Tidak sampai setahun selepas penerbangan pertama mereka, syarikat penerbangan tambang murah MyAirline hari ini telah mengumumkan keputusan untuk menggantung operasi mereka bermula 12hb Oktober 2023. Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan, syarikat penerbangan berkenaan dikatakan mengalaman masalah kewangan dan mereka terpaksa menggantung sementara operasi sambil menunggu pengstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula.
“Dengan berat hati kami memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan yang berat ini dan kami faham implikasi yang akan terjadi kepada pelanggan setia, pekerja-pekerja kami yang berdedikasi serta rakan kongsi kami. Kami telah berusaha untuk meneroka pelbagai jenis kerjasama dan penjanaan modal untuk menghalang penggantungan ini. Namun, kekangan masa telah menyebabkan kami tidak mempunyai alternatif lain selain mengambil keputusan ini”, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah.
Pihak MyAirline juga meminta semua para pelanggan yang mempunyai tiket penerbangan bermula hari ini agar tidak ke lapangan terbang dan cuba untuk mengatur perjalanan alternatif ke destinasi mereka. Semua pelanggan yang mempunyai tiket penerbangan dan terkesan dengan penggantungan ini, boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk mengetahui lanjut mengenai status tiket mereka
Pihak syarikat berkata mereka akan berusaha untuk menyambung semula operasi secepat mungkin namun tidak dapat menjanjikan sebarang garis masa. Mereka juga turut memohon maaf kepada semua para pelanggan yang terkesan dan segala kesulitan yang akan dihadapi.
Syarikat penerbangan ini dimiliki oleh MyAirline Sdn Bhd dan mereka melancarkan penerbangan sulung mereka ke Langkawi, Kuching & Kota Kinabalu pada 1hb Disember 2022. Pada bulan Julai yang lalu mereka turut melancarkan laluan antarabangsa pertama mereka dari Kuala Lumpur ke Bangkok. Team kami juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki penerbangan MyAirline ketika penerbangan sulung mereka ke Sibu serta ke Bangkok. Baca review penerbangan Sibu disini dan penerbangan ke Bangkok disini.
Tinjauan kami ke laman rasmi MyAirline juga mendapati terdapat notis mengenai penggantungan tersebut.