Itinerari: 5 hari ke Hanoi, Ha Long Bay & Sapa

Trip ke Hanoi Ha Long Bay & Sapa

Hanoi, Ha Long Bay & Sapa merupakan antara tempat tarikan pelancong yang popular di utara Vietnam. Rata-rata pelawat yang ke Hanoi, pastinya akan ke Ha Long Bay ataupun ke Sapa. Kali ini kami ingin kongsikan pengalaman Muhammad Amin yang telah mengembara selama 5 hari ke ketiga-tiga tempat ini.


Destinasi : Hanoi, Ha Long Bay & Sapa
Durasi :
5 hari 4 malam
Traveler : Muhammad Amin
Jenis Trip : Berdua

Assalamualaikum. Ok kali ni aku nak cerita sedikit sebanyak cara cara atau langkah langkah atau bahasa mudahnya iaitu itinerary ke Vietnam dengan kos yang sederhana. Itinerary aku kali ni agak panjang berjela. Tapi aku tulis panjang panjang ni pun sebenarnya, lebih kepada nak bercerita perjalanan aku ke sana dengan lebih terperinci agar dapat memudahkan korang untuk ke sana. Dan aku akan buat perkiraan perjalanan untuk 2 orang. Since selalu travel laki bini kan? So lagi senang untuk korang.

Kenapa Vietnam? Ok selain awek awek yang cantik, Vietnam juga terkenal dengan gelaran syurga instagram. Sebab apa? Sebab banyak gila wei port port baik korang nak snap gambar and bubuh dalam instagram korang.

Even ibu negara Vietnam iaitu Hanoi merupakan salah salah sebuah destinasi pelancongan yang terbaik di dunia pada kedudukan yang ke-12 berdasarkan review Trip Advisor mengalahkan Tokyo dan Dubai.

HARI PERTAMA

Ok hari pertama, kitaorang punya flight pukul 6 pagi waktu Malaysia. So malam tu tidur beralaskan lantai airport je la apa lagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam. Kira kira jam 8 pagi waktu sana dah sampai Hanoi. Sana waktu diorang lewat sejam ye daripada kita. So sampai je sana tanpa membuang masa kitaorang terus cari bas untuk ke Old Quarter. Ok Old Quarter ni port korang nak cari hotel. Kira town area la. So nak pergi sini dari airport, korang kena ambil bas nombor 86 ye. Jangan salah bas, kang tak memasal ke tempat lain pulak.

Dalam 35 minit gitu la korang akan sampai kat Old Quarter Hanoi. Lepas tu korang pergilah pergi beli simkad so senang nak cari kat mana korang punya hotel. Macam aku, aku dah book siap siap kat Agoda so tinggal datang tidur je la. Aku booking Golden Charm Hotel Hanoi. Tapi diorang bagi check in pukul 2 pulak. Tak boleh check in awal. So kena merayau dulu la. Ok best part bila kau sampai Hanoi ni, kau tak payah susah susah keluar duit naik grab ke apa untuk pergi tempat tempat best. Kau boleh menapak je beb. Takde jauh mana pun. Dalam radius 3km dari Old Quarter ni bersepah port port best kau nak snap gambar nak bubuh dalam instagram.

First aku pergi Tasik Hoan Kiem. Tasik ni memang lawa beb dengan ada jambatan merah macam dalam opera cina tu. Kau nak lari lari joget joget kat atas tu pun boleh. Lepas tu aku dengan bini aku terus pergi Masjid Al Noor untuk lunch la apa lagi. Hahaha dekat sebelah masjid ni ada Zaynab Restaurant. So boleh makan kat sini la. Satu aku nak pesan, kat Vietnam ni adalah lebih elok kalau kau bawak makanan sendiri. Lebih afdhal. Sebab makanan kat sini agak mahal.

Satu kesilapan aku, aku datang sini, aku bawak makanan dari Malaysia sikit sangat. So nak taknak memang kena cari makanan lain la kat sini. Dan kosnya amatlah mahal. Harga dah macam makan kat hotel. Jadi aku sarankan, kalau korang nak ke sini, adalah lebih baik bawak makanan siap siap ye. Lepas makan dan solat di masjid, kitaorang pun terus ke Hanoi Train Station. Ok kalau datang sini, korang kena try coffee diorang. Hanoi terkenal dengan egg coffee yang sedap. Para pencinta kopi memang disarankan untuk try. Macam aku, aku minum jus nenas je sebab tak minat sangat kopi ni.

Kat sini korang boleh lepak dekat kedai kedai kopi kat sebelah landasan kereta api ni. Apa yang best? Kereta api lalu celah gigi kau je wei. Memang seronok rasanya. Pergh dia punya nikmat. Tapi kau silap langkah, kau ke depan sikit je, memang alamatnya meninggal la kat situ. View memang cantik. Serious tak tipu. Sini memang port budak budak insta luar dan dalam negara ambil gambar. Ok untuk makluman korang, train akan lalu jam 7 malam dan ke atas sahaja. Kecuali hari minggu, train akan start lalu dalam pukul 3 petang. Macam aku, aku datang petang, lepas tu malam tu aku datang lagi sebab nak rasa macam mana kereta api lalu betul betul sebelah kita kan.

Kos hari pertama:

  • Tiket Air Asia KL-Hanoi pergi balik. (Beli masa free seat) : RM 691.60
  • Tiket bas dari Airport ke Hotel : RM 12.75
  • Simkad : RM43.70
  • Hotel Hari Pertama : RM 84.90
  • Makan di Zaynab Restaurant : RM 23
  • Minum di Hanoi Train Station Cafe : RM 7:30

Total : RM863.25 untuk dua orang

HARI KEDUA

Ok hari kedua kitaorang pergi jauh sikit. Tempat ni memang wajib pergi. Kau pergi Vietnam tapi tak pergi sini macam takde makna wei. Kitaorang pergi Halong Bay. Salah satu tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. Sini aku cakap korang la, memang superb. View memang lawa nak mati. Ada ribuan pulau dan dia punya laut warna hijau emerald beb. Perjalanan ke sini mengambil masa kira kira dalam 3 jam jugak la. Boleh tahan jauh. Aku pergi sini naik bas. Aku ambik pakej je, dah siap dengan tourist guide, makan minum atas kapal semua dengan aktiviti kayak. Senang je, korang boleh beli tiket dekat Klook je. Memang lagi murah compare kalau korang beli via walk in. Lepas tu nanti diorang pick up kat dekat depan hotel je.

Aku ke sini untuk day trip je, kalau korang nak tidur dekat kapal pun boleh takde hal. Dia ada pakej pakejnya la. 2 hari satu malam ada, 3 hari 2 malam pun ada. Macam aku, aku ambik daytrip je sebab lebih jimat dan masa yang agak terhad. Kat sini korang boleh naik satu kapal besar atau dalam bahasa penjajahnya ialah cruise. Dalam 24 orang gitu la dalam tu. Then diorang bagi makan tengah hari. Macam aku, aku request vegie dan seafood sahaja. So diorang akan bawak kau pergi bersiar siar naik kapal ni pusing dekat area pulau pulau tu. Memang banyak pulau. Lepas tu diorang akan bawak pergi gua. Kat sini korang boleh lihat pelbagai jenis dan latar belakang peminat peminat MU dalam gua ni. Gua ni memang besar dan memang agak cantik. Lepas tu nanti korang boleh berkayak lalu bawah bawah gua semua la.

Kitaorang kat sini sampai petang. Lepas tu terus gerak balik ke Hanoi. Sebab malam dah nak terus gerak ke Sapa. Untuk ke Sapa, perjalanan memerlukan lebih kurang 5 hingga ke 6 jam. Jauh beb. So kitaorang ambil sleeping bus untuk ke sana. Senang sikit boleh tidur dengan selesa dalam bas dan dah jimat dah. Takyah susah susah nak book hotel lagi. Apa ada di Sapa? Akan aku ceritakan dalam perenggan untuk hari yang ketiga. Jeng jejenggg.

Kos hari kedua :

  • Tiket Halong Bay: RM 368.70
  • Tiket sleeping bus Hanoi to Sapa : RM119.50

Total : RM 488.20 untuk dua orang

HARI KETIGA

Ok hari ketiga ni hari yang ditunggu tunggu. Sebab tujuan utama aku pergi Vietnam ni memang nak ke sini pun. Kat sini ada The Rooftop of Indochina, iaitu Gunung Fansipan. Ok kitaorang sampai sini pukul 5 pagi. Cuaca memang sejuk tak boleh bincang beb. 6 darjah celcius bai. Dia ingat kita ni apa. Kat Malaysia suhu macam ni cuma dalam peti ais dengan peti bilik mayat je.

Nasib baik diorang bagi kitaorang tidur dulu dalam bas sementara tunggu matahari naik. Dalam pukul 6 macam tu, kitaorang terus gerak ke hotel. Jalan kaki je la. Nak jimatkan. Sebelum kau turun dari bas lagi, orang orang kat sini dah ready nak offer kau pakej untuk trekking ke kampung kampung area sini. Korang nak ambil pakej dengan diorang pun boleh. Macam aku, jenis kedekut dan takde duit. So aku pergi sendiri je semua tempat tempat tu.

Kat sini suasana dia, suasana kampung yang agak lawa. Orang kata kalau kena dengan masanya, dapat tengok salji turun. Aku datang tak kena masa la ni. Aku sampai hotel dalam pukul 7:30 pagi gitu. Jalan kaki dalam 2.5 km gitu la. Nasib baik Praha Hotel Sapa ni bagi kitaorang check in awal awal sebab nak bagi kitaorang rehat. Baik betul diorang ni. Hotel ni memang highly recommended la. View pun lawa.

Lepas mandi rehat semua, kitaorang terus menuju ke Gunung Fansipan. Wehuuuu. Ok takyah susah susah nak hiking. Naik cable car je. Tiket pun korang boleh beli dekat Klook ye. Walaupun kitaorang pergi waktu tengah hari, tapi dah sampai puncak tu, aku rasa dia punya sejuk lagi gila la. Bawah 0 darjah celcius. Memang tak boleh bawak bincang la. Tapi view memang superb. Masa aku pergi tu, kabus memang tebal gila, nampak view lawa tu bila cahaya matahari terpancar sekejap, haa time tu la baru nampak view lawa.

Kat belah bawah pulak masa kitaorang turun, ada taman bunga. So nak berjadah jadah ambil kat sini pun boleh. View pun lawa. Tapi disarankan pergi musim bunga la. Aku pergi musim sejuk ni banyak bunga mati. Lepas tu petang tu kitaorang lepak lepak kat Pekan Sapa. Tengok gelagat budak budak main bola. Ada yang jual kraftangan. Tapi jenis memaksa pulak, tu yang aku tak berapa nak gemar. Kau taknak beli nanti dia tolak tolak kau. Haihh patkal la budak kecik.

Trip ke Hanoi Ha Long Bay & Sapa

Ok malam tu kitaorang makan dekat Omar Namaste Restaurant. Tengah hari dan petang tu bukan aku tak makan, aku makan. Aku bawak makanan dari Malaysia je. Nak lagi jimat bawak lagi banyak. Silap aku, aku bawak sikit je. Tu yang terpaksa cari makanan kat luar. Kat Omar Namaste Restaurant ni pun harga boleh tahan yahudi jugak la. Tapi ok la sedap. Korang kena try roti naan dia.

Kos hari ketiga:

  • Hotel hari ketiga : RM 164.95 (ni korang boleh dapat lagi murah. Ni sebab aku nak layan mountain view je sebab tu aku pilih bilik ni)
  • Tiket ke Fansipan : RM 328
  • Makan : RM 53

Total : RM 545.95 untuk dua orang

HARI KEEMPAT

Ok hari keempat dan hari terakhir di Sapa. Kitaorang plan pagi pagi dah check out. Sebab nak pergi Cat Cat Village then pukul 3 naik bas balik ke Hanoi. Akan tetapi, sebab betapa baiknya Sapa Praha Hotel ni, diorang bagi kitaorang pergi Cat Cat Village dulu, lepas balik ke hotel nanti mandi mandi siap siap dulu, then baru check out. Punya lah baik hati even dah lepas pukul 12 time tu.

Ok pagi tu lepas sarapan kat hotel then kitaorang terus menapak ke Cat Cat Village. Kat sini korang boleh jumpa dengan suku kaum Hmong. Ni kira etnik rare tau kat sini. Memang betul betul suasana kampung la. Dengan ada bela ayam babi itik semua. Memang relax la kalau duduk sini. Rasa nyaman je. Lepas tu ada air terjun. Siap ada kincir air wei. Memang keren banget dong. Kau nak sewa pakaian tradisional suku kaum ni pun boleh. Ada banyak kedai, kena pandai cari yang paling mur mur.

Trip ke Hanoi Ha Long Bay & Sapa

Lepas penat berjalan dan penat bergambar, kitaorang terus gerak ke Hanoi naik sleeping bus. Sampai Hanoi dalam pukul 9 malam. Lepas tu check in hotel then terus membuta la apa lagi.

Kos Hari Keempat :

  • Tiket ke Cat Cat Village : RM 32.80
  • Sewa baju etnik Hmong : RM9
  • Tiket sleeping bus Sapa to Hanoi: RM119.50
  • Hotel hari keempat : RM 84.90

Total : RM246.20 untuk dua orang

HARI KELIMA

Ok hari kelima dan hari terakhir di bumi Vietnam ini. Disebabkan hari pertama hari tu aku lupa nak ke satu port best ambil gambar. So aku pergi hari kelima. Pergi mana? Pergi Long Bien Bridge. Memang lawa beb kalau kau ambil gambar kat sini. Cuma. Ermm cuma tempat ni bau hancing. Keliling kau kiri kanan kau bau air kencing. Kalau ada rezeki kau boleh jumpa orang berak tepi jalan depan mata kau. Sampai sekarang terngiang ngiang dalam kepala hotak kau.

Ok pagi tu lepas check out hotel, kitaorang pun terus la bergerak, berlegar legar berjalan jalan di bandar Hanoi sebelum pulang ke tanah air. Kat Hanoi ni kereta tak banyak sangat. Tapi motor, masyaAllah, kiri kanan depan belakang kau semua ada motor. Nak berak pun kat sebelah kau ada motor lalu. Motor memang bersepah. Aku tanya orang sini, dia cakap sini kereta mahal, lepas tu parking pun tak banyak. So orang lagi prefer beli motor dari beli kereta.

Ok berbalik pada Long Bien Bridge ni. Ianya sebuah jambatan yang panjang tapi untuk laluan motor dan kereta api sahaja. So kalau kau nak ambil gambar lawa, kena berhati hati nak melintas ke tengah tu. Kang jatuh ke bawah kena baham buaya sungai merah tak ke naya. Ada buaya ke tak tu aku tak sure la. Then korang kena tengok jugak ea. Kalau ada kereta api nak lalu tu, cepat cepat la meniti keluar dari landasan tu. Memang bahaya, tapi dengan gambar yang kau dapat ambil, memang berbaloi kau pertaruhkan nyawa kau tu. Hahaha.

Lepas pong pang pong pang ambil gambar, kitaorang pun terus naik bas pergi ke airport. Yelah nah balik kan.

Kos hari kelima :

  • Tiket bas dari Airport ke Hotel : RM 12.75

Total : RM 12.75 untuk dua orang


Kos kesuluruhan : RM 2156.35untuk dua orang. So seorang dalam RM 1078 sahaja. Murah kan?

Sebenarnya korang boleh rendahkan lagi kos ni. Diharap apa yang aku ceritakan ini dapat memudahkan perjalanan korang ke sana dengan kos yang berpatutan. Haa siapa kata nak travel kena banyak duit? Siapa nak tengok video video aku di sana boleh klik link di bawah ye. Mintak tolong subscribe ya gaiss 

https://www.youtube.com/watch?v=b1iK49hpPrQ
Ha Long Bay
https://www.youtube.com/watch?v=qPs0EX5MKn0
Hanoi
https://www.youtube.com/watch?v=tExv_DNNe4Y
Sapa

Semoga itinerary trip ke Hanoi Ha Long Bay & Sapa ini bermanfaat


Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel , FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSRCIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *