15 Aktiviti Menarik di Kuala Kangsar & Lenggong
Kalau sebut tentang Kuala Kangsar, aktiviti apa yang anda terfikir ada di sini?
Selalunya orang ramai yang ke sini akan singgah ke Masjid Ubudiah dan melawat Istana Kenangan Bukit Chandan. Memang cantik dua tempat ini dan sudah menjadi tempat wajib apabila ke sini tapi ramai yang tak tahu sebenarnya ada banyak lagi tempat-tempat menarik dan semestinya aktiviti-aktiviti menarik yang terdapat di sekitar Kuala Kangsar dan juga Lenggong. Apa yang menarik? Jom tengok senarai dibawah.
1.Berjalan di sepanjang Victoria Bridge
Victoria bridge merupakan antara jambatan tertua di Malaysia yang dibina sekitar tahun 1897 hingga 1900. Ia adalah sebuah jambatan kereta api tunggal yang melintasi Sungai Perak dan mempunyai banyak sejarah-sejarah lama dari zaman British. Kini, ia telah pun diiktiraf sebagai warisan negeri jadi anda yang ingin datang ke Kuala Kangsar tu, memang patut singgah ke sini dan cuba berjalan sepanjang jambatan ini. Pada mereka yang gayat, agak seram juga berjalan atas trek yang berketinggian 12 meter dari paras air sungai ini tapi kepada mereka yang berani tu, pengalaman ini memang menyeronokkan. Kepada mereka yang suka bergambar pula, ini adalah port yang anda kena datang bergambar terutama sekali di waktu senja, sungguh indah pemandangan di sini.
2.Menginap di D’Village Hotel
Hotel D’ Village yang terletak bersebelahan saja dengan Victoria Bridge ini mempunyai keunikan tersendiri. Seni binanya yang berunsurkan Victoria Bridge dan berkonsepkan rumah tradisional. Apa yang menarik di sini adalah seni binanya yang buatkan rasa seperti berada di suasana kampung namun masih lengkap dengan peralatan moden. Sarapan pagi juga dihidangkan dengan gaya tradisi kita. Ia juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti dewan seminar, dewan utama yang boleh memuatkan 500 orang, kedai kopi dan juga heritage gallery yang mempamerkan peralatan-peralatan antik.
3.Makan Kuih Karas
Kuih Karas adalah antara kuih tradisi yang popular di negara kita. Kuih Karas di Perak agak berbeza di bandingkan dengan negeri yang lain dari segi lipatannya. Di D’Village juga pengunjung boleh membeli kuih karas ini.
4.Melawat pembuatan Labu Sayong
Labu sayong merupakan lambang warisan kepada negeri Perak. Nama labu sayong yang dipetik oleh ‘labu’ yang digunakan oleh orang dulu-dulu untuk menyimpan air selepas mencuci di dalamnya, dan ‘sayong’ nama tempat di Kuala Kangsar. Jadi rugi kalau anda datang ke Kuala Kangsar tapi tak pergi ke tempat pembuatannya untuk mengenali salah satu warisan kita. KZ Kraf Enterprise adalah antara pengusaha pembuatan labu sayong yang terkenal di Kuala Kangsar ini. Mereka telah pun berniaga dan membuat labu sayong sejak 3 generasi yang lalu. Hasil kerja mereka pernah dijual di Eropah. Kegunaan labu sayong ini adalah untuk penyimpanan air kerana khasiat bahan semula jadinya terutama sekali di tanah mukim Sayong ini yang masih terdapat sisa-sisa debu gunung berapi Toba. Bila dah ke sini semestinya nak membeli buah tangan atau cenderahati dari tanah Sayong ni. Memang anda akan rambang mata dengan pilihan yang ada dengan harga yang sungguh berpatutan. Yang penting, sambil berbelanja kita juga menyumbang kepada industri warisan kita.
5.Melawat pembuatan Rebana Perak
Selain labu sayong, Rebana Perak juga merupakan warisan negeri Perak. Alat muzik tradisional ini selalunya dimainkan pada majlis keraian. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri khususnya dari sudut penghasilan irama berikutan perbezaan saiz serta bahan pembuatan yang berlainan dengan kompang. Encik Mohd Sapri pengasas di SRAW (Sentuhan Rebana Asli Warisan), menerima kunjungan ke rumah beliau bagi yang ingin mempelajari tentang Rebana Perak. Beliau juga ada membuat kelas bermain Rebana Perak. Selain Rebana Encik Sapri juga menghasilkan Beduk yang digunakan di rancangan realiti tv, Pencetus Ummah dan Imam Muda terbitan ASTRO OASIS. Bila ke sini, cuba bermain ketukan beduk dan rebana ini baru lah tahu bunyinya yang sangat berlainan dengan kompang. Boleh jadi pengalaman yang menarik untuk belajar tentang warisan negeri Perak ini.
6.Menginap di Homestay Labu Kubong
Homestay ini pernah memenangi anugerah Homestay Terbaik Malaysia untuk tahun 2016/2017. Bila ke sini, baru anda faham bagaimana boleh menang. Dengan keindahan pemandangan di tepi sawah dan aktiviti-aktiviti yang menarik ada di sini dan juga makanan yang di sajikan enak-enak, rasa macam tak nak balik! Antara aktivit yang boleh dibuat disini adalah:
- Beronda-ronda di sekitar kampung dengan tuan rumah menaiki kereta golf (buggy car) dan melawat kebun-kebun buah
- Melawat ladang kecil madu kelulut (milik anak buah tuan rumah)
- Di bulan 9 – terdapat acara sukan rakyat atau sukan padang untuk mereka yang ingin mencabar kekuatan diri (Badang untuk lelaki dan Walinong Sari untuk perempuan)
- Kalau di musim buah, boleh petik je buah yang terdapat kawasan homestay.
- Di Musim durian pula, ada pakej untuk 6-7 orang makan
- Di musim selepas padi menuai pula, ada acara bermain layang-layang
- Boleh juga kalau nak panjat bukit di bukit hadapan homestay.
7.Makan di Teratak Warisan Kampung
Restoran ini sentiasa dipenuhi dengan orang. Mana tidaknya, restoran ini pernah memenangi anugerah Restoran Terbaik (Masakan Melayu) tahun 2017 dan sering dikunjungi oleh stesen-stesen TV, liputan akhbar dan orang-orang ternama. Pelbagai juadah dan lauk-pauk yang disediakan sampai tak tahu nak pilih yang mana, semuanya sedap-sedap. Ada juga menu yang tidak pernah didengar oleh generasi muda hari ini seperti kebebe, nasi legundi, ikan bakar dalam tanah liat dan ikan pindang daun sernia.
8.Melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong
Lenggong mempunyai tapak arkeologi yang penting untuk negara kita yang telah diiktiraf oleh UNESCO. Di sini terjumpanya ‘Perak Man’, iaitu rangka manusia yang tertua di Malaysia yang berusia 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu. Juga ia antara rangka paling kengkap yang dijumpai di Asia Tenggara. Untuk mengenali tentang ‘Perak Man’ dan sejarah-sejarah purba di negara kita, boleh datang ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Di galeri ini juga tersimpan banyak khazanah sejak zaman Paleolitik.
9.Melawat Bukit Jawa
Bukit Jawa juga merupakan tapak arkeologi di Lenggong. Ia mendedahkan bukti kebudayaan Paleolitik. Di sini anda dapat lihat tapak yang dipercayai digunakan di zaman Paleolitik untuk pembuatan alat batu atau alat senjata. Untuk ke sini, anda boleh menghubungi:
Jabatan Warisan Negara Zon Tengah
Zuraini bt Zamri
Telefon: +6019-567 2455
Pusat Informasi Pelancongan Hentian R&R Raja Muda Nazrin, Tasik Raban Lenggong
Telefon: +605-7512350
10. Melawat Bukit Bunuh
Di tanah Lenggong pernah mendapat suatu impak hentaman meteorit yang bertarikh 1.83 juta tahun dahulu. Kawasan yang masih mempunyai kesan hentaman meteor itu terdapat di Bukit Bunuh yang juga merupakan tapak arkeologi penting “BBH 2007” di Malaysia dan satu lagi tapak UNESCO. Malah, ia juga dikatakan sebuah tapak Paleolitik terpenting di dunia dan meletakkan Bukit Bunuh sebagai tapak tertua dunia yang berada di luar Afrika. Kalau anda ke sini, anda boleh lihat batu-batu yang terdapat di sini bukanlah batu biasa. Ia merupakan batu suevite, quartzite, quartz, dan metamorphik yang berasal dari meteor.
11. Melawat Gua Kajang
Gua Kajang ini terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala gajah. Gua ini telah digunakan sejak 11,000 hingga 5,000 tahun dahulu dan telah mendedahkan yang ia pernah dihuni dan dijadikan kawasan pengkebumian di zaman Paleolitik dan Neolitik. Dari suatu sudut di dalam gua itu, anda boleh lihat bentuk-bentuk yang unik terdapat di gua ini, antaranya bentuk kepala T-Rex, kerbau dan juga bentuk hati.
12. Menginap di Homestay Rumah Tiang 16
Bagi mereka yang ingin menginap di Lenggong, boleh lah cuba homestay yang unik dan penuh nostalgia ini. Apa yang menarik adalah setibanya di sini, anda akan disambut dengan penuh ramah oleh tuan rumah yang lengkap berbaju melayu sambil berpantun. Bagi mereka yang bosan dengan suasana moden dan bandaraya, anda akan tertarik dengan keunikan di homestay ini yang dapat mengimbau kenangan nostalgia zaman 80an dulu.
13. Makan di Kebebe Cafe
Kebebe Cafe ini terletak di Laman Budaya Lenggong. Menu yang paling digemari di sini adalah makanan tengahari “Setalam RM25.00” yang menyajikan makanan-makanan kampung seperti masak lemak ikan sungai, ikan pekasam goreng, ikan bakar, ulam-ulaman, sambal belacan, dan kebebe. Kebebe adalah sejenis makanan tradisional yang dikatakan wujud sejak 200 tahun lalu dalam kalangan masyarakat tempatan sekitar daerah ini. Sekali pandang ia seperti sambal hijau tapi yang agak tebal strukturnya. Dikatakan sebagai ‘makanan penyelamat’ dan boleh dicicah atau dimakan dengan lauk atau ulam yang lain.
14.Melawat Kiah Pekasam
Kalau anda pernah menonton telefilem lakonan Rozita Che’ Wan, ia adalah adaptasi dari kisah Puan Kiah sendiri. Kiah Pekasam ini sangat terkenal di dalam industri pekasam di negara kita bukan hanya disebabkan telefilem tersebut malah keenakan ikan pekasamnya mendapat sambutan sehingga dapat menembusi pasaran luar negara seperti di Singapura, Brunei, Scotland dan Arab Saudi menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bantuan rakan-rakannya. Di sini, anda boleh lihat cara pembuatan ikan pekasam dari awal hingga pembungkusan. Boleh lihat ikan-ikan yang diperam telah dibersihkan dengan sebaik mungkin. Anda yang datang pasti nak borong ikan pekasam ini. Antara ikan yang sering jadi rebutan ialah ikan loma.
15. Bersantai di Hutan Lipur Lata Kekabu
Hutan Lipur Lata Kekabu adalah sebuah tempat rekreasi yang pasti membuatkan anda tenang dengan keindahan alam semula jadinya yang masih terjaga. Ia sesuai dijadikan tempat berkelah. Terdapat juga air terjun setinggi 4 meter mencurah ke dalam kolam perkelahan dan jambatan gantung yang disediakan bagi pengunjung yang ingin menjelajah hutan di sebelah ulu. Antara kemudahan awam yang disediakan di sini adalah kawasan berkelah, chalet kayu dengan aircond, gazebo, bilik persalinan serta tandas.
Tengok juga video kami mengenai tempat-tempat ni..
Jangan lupa LIKE Facebook Kaki Travel , FOLLOW Instagram @kakitravelnet dan SUBSRCIBE Youtube Kaki Travel bagi mendapatkan idea dan info untuk pengembaraan anda!